GMC Hummer EV 2022 - trak pikap elektrik 1,000 hp & 15,592 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah hampir sedekad model terakhir Hummer keluar dari kilang, jenama tersebut akhirnya kembali semula dengan hala tuju serba baharu, iaitu model berkuasa elektrik sepenuhnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dinamakan sebagai GMC Hummer EV 2022, model EV pertama yang menggunakan nama Hummer itu membawakan rekaan yang lebih arus perdana dan lebih menarik jika dibandingkan dengan model Hummer terdahulu.

Bahagian hadapan membawakan lampu LED diikuti dengan rekaan gril yang lebih minimalis, sementara kehadiran bumper dan skid plate pada bahagian tersebut secara tidak langsung memberikan petanda - ini bukan model off-road sebarangan.

 


Penampilan Hummer EV ini diserikan dengan pemasangan fender flare di bahagian arca roda, diikuti dengan rekaan panel bumbung rata yang boleh dibuka pada bila-bila masa.

Panel tersebut memiliki ciri telus dan boleh disimpan pada ruang kargo hadapan (frunk) apabila ia tidak digunakan, sementara cermin belakang pula walaupun tidak boleh dilipat, ia boleh diturunkan secara elektronik.

Penampilan Hummer EV ini diakhiri dengan lampu belakang LED, bumper kegunaan lasak dilengkapi dengan D-ring, tailgate MultiPro dengan enam tetapan, serta tonneau cover berkuasa.

Untuk memastikan Hummer EV ini mampu meredah jalan off-road tanpa menyebabkan pemandu berpeluh, ia dilengkapi dengan tayar 35 inci Goodyear Wrangler All Territory MT, serta keupayaan meredah air sedalam 610 mm.

 


Ruang dalaman Hummer EV ini membawakan elemen kotak, lihat sahaja corong pendingin hawa, rekaan kluster meter digital bersaiz 12.3 inci serta kehadiran skrin infotainmen 'terapung' bersaiz 13.4 inci di bahagian tengah.

Skrin infotainmen itu tadi menawarkan akses kepada sistem UltraVision Hummer yang menampilkan sehingga 18 paparan kamera yang berbeza, termasuklah paparan di bahagian bawah kenderaan untuk mengelak halangan.

Terdapat juga ciri widget off-road yang memaparkan status semasa, seperti kondisi jalan, status fungsi kenderaan, sistem pemantauan tekanan tayar, serta sudut pitch and roll.

Tidak lengkap kenderaan moden tanpa kehadiran sistem bantuan pemanduan, jadi GMC Hummer EV ini turut didatangkan dengan sistem semi-autonomi Super Cruise yang membenarkan pemanduan tanpa tangan pada jarak 321,869 km atas lebuh raya di Amerika Syarikat dan Kanada.

 


Sebut pasal kuasa pula, GMC Hummer EV ini didatangkan dengan tiga motor elektrik, dengan angka gandingan setinggi 1,000 kuasa kuda dan 15,592 Nm (!) daya kilas.

Kuasa tersebut disalurkan kepada semua roda, dan membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa tiga saat sahaja menggunakan launch control 'Watts to Freedom'.

Motor elektrik tersebut menerima kuasa daripada pek bateri Ultium yang menawarkan jarak operasi sehingga 563 km.

Sistem pengecasan berkapasiti sehingga 350 kW itu membolehkan anda mendapat jarak sehingga 161 km dengan hanya 10 minit masa pengecasan.

 


Salah satu fungsi yang terdapat pada Hummer EV ini adalah mod pemanduan CrabWalk, ciri yang membolehkan roda hadapan dan roda belakang diposisikan pada sudut yang sama, membenarkan pemanduan seakan seekor ketam.

Tujuannya adalah untuk membenarkan pengendalian yang lebih baik terutama ketika memasuki jalan off-road yang sukar.

Ciri ini dibantu dengan sistem suspensi udara dengan Extract Mode yang membolehkan Hummer EV ini ditinggikan sebanyak 149 mm tambahan.

Untuk pembeli terawal, Hummer EV ditawarkan dalam trim Edition 1 pada harga bermula dari $112,595 (RM467,213) yang lengkap dengan pakej dalaman Lunar Horizon dan aksen gangsa.

 


Manakala yang tak sempat nak beli boleh mendapatkan model Hummer EV 3X pada tahun 2022 pada harga yang lebih rendah, iaitu $99,995 (RM414,929) namun dengan angka output yang sedikit rendah - 800 hp dan 12,880 Nm serta jarak operasi sekitar 483 km sahaja.

Model kedua terendah adalah Hummer EV 2X, dengan harga $89,995 (RM373,434) yang dikuasakan oleh trenkuasa motor elektrik berkembar dan angka prestasi 625 hp dan 10,033 Nm, dan jarak operasi sekitar 483 km.

Manakala model paling asas pula ($79,995 @ RM331,939) masih mengekalkan konfigurasi motor elektrik berkembar pada varian 2X, namun dengan jarak operasi 402 km sahaja.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
EMCV ini secara asasnya merupakan sebuah GMC Hummer EV yang telah dibogelkan, dengan beberapa…
Berita Global
Namun, salah satu model ikonik mereka yang dijelmakan semula pada tahun 2020, pikap GMC Hummer EV…
Berita Global
Pada awal bulan November, seorang YouTuber yang dikenali dengan nama Mondi telah mengambil kunci…