Tidak pun lama selepas kemunculan semula Hummer EV pada tahun lalu, GM telah pun mengesahkan perancangan untuk menjadikannya sebagai kenderaan kegunaan tentera.
Bercakap kepada CNBC, Presiden GM Defense Steve duMont memberitahu terdapat perancangan untuk membangunkan kenderaan tinjauan ringan elektrik (eLRV) menggunakan asas daripada GMC Hummer EV.
Beliau menambah, pihak tentera amat teruja dengan perancangan GM, di mana kenderaan tersebut akan dibangunkan secara khusus dan dijangka berkongsi unit trenkuasa dan pek bateri yang sama seperti model yang dijual kepada umum.
Namun, eLRV itu akan dibina mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh tentera dan berkemungkinan besar mempunyai penampilan yang amat berbeza jika dibandingkan dengan versi jalanan.
Contoh yang terdekat diperlihatkan adalah kenderaan Infantry Squad Vehicle yang menggunakan asas daripada Chevrolet Colorado ZR2 (gambar atas).
Dalam laporan itu lagi, GM Defense dijangka akan memulakan pembinaan prototaip eLRV bermula tahun depan.
Sumber: CNBC