Reka Bentuk Dua Komponen
Kebanyakan rim kenderaan pengeluaran kini dihasilkan sepenuhnya daripada aluminium atau keluli, sama ada melalui proses tuangan (casting) atau tempa (forging). Namun, GM mencadangkan pendekatan dua komponen di mana bahagian barrel rim masih diperbuat daripada logam, manakala bahagian muka dan jejari rim menggunakan komposit FRP (fiber-reinforced polymer) yang boleh merangkumi gentian karbon.
Uniknya, jejari rim ini juga boleh direka berbentuk berongga, membolehkan sisipan logam ditambah bagi meningkatkan kekuatan struktur. Kedua-dua komponen logam dan komposit boleh digabungkan melalui pelekat, pengikat logam, atau teknik over-molding di mana bahan komposit dicetak terus ke atas barrel logam dengan material mengalir masuk ke dalam slot atau lubang yang disediakan.

Inspirasi Dari Model Prestasi
Beberapa kereta berprestasi tinggi seperti Chevrolet Corvette Z06 sudah pun menawarkan rim gentian karbon penuh yang lebih ringan berbanding rim logam. Namun, GM percaya rekaan hibrid ini mampu memberikan ketahanan hentakan lebih baik serta lebih mudah dibaiki kerana bahagian barrel yang paling terdedah kepada kerosakan masih menggunakan logam.

Selain itu, GM menegaskan bahawa rim jenis ini tetap boleh menampilkan rupa seperti rim gentian karbon penuh, malah memberikan kebebasan rekaan yang lebih luas kepada pereka bentuk, termasuk kemungkinan menonjolkan jejari dengan kemasan gentian karbon asli.
Belum Pasti Ke Pasaran
Walaupun idea ini dilihat sebagai kompromi yang bijak antara kekuatan logam dan kelebihan ringan gentian karbon, perlu diingatkan bahawa permohonan paten bukanlah jaminan produk akan masuk ke barisan pengeluaran. Buat masa ini, ia masih sekadar konsep teknologi yang mungkin menjadi sebahagian daripada masa depan rim automotif jika GM meneruskannya.
Sumber: motorauthority.com