
Perlumbaan yang berlangsung di Janda Baik dan meliputi 60 km diakui sebagai antara perlumbaan yang paling sukar sepanjang Rimba Raid diadakan sejak lapan tahun lepas.
Litar itu termasuk laluan di dalam jeram dan menyeberangi anak sungai serta seksyen Neraka Hijau, segmen yang dikatakan perlumbaan paling sukar untuk pemenang tahun ini, Muhammad Habibullah Mohd Saleh atau Gabit.
Gabit menunggang motosikal KTM Adventure 1050 dan mengambil masa 48 minit 40 saat. Tempat kedua dimenangi oleh Wong Chin Hing dengan masa 50 minit 37 saat.
Adik Wong, Wong Chun Fah menurut di tempat ketiga, hampir setengah jam di belakang.
Perlumbaan kelas B dimenangi oleh Shamsul Azhar Abu Hazim dengan masa 1 jam 4 minit 31 saat, diikuti oleh Wan Nor Fahmy Wan Nashar (1 jam 12 minit 44 saat) dan Iskandar Rabu (1 jam 36 minit 56 saat).
Kelas C dimenangi oleh Muhammad Hazlami Mustapha Kamal dengan masa 56 minit 55 saat sementara adiknya Muhammad Hazzil Mustapha Kamal ditempat kedua dengan 57 minit 28 saat. Tempat ketiga menjadi milik Muhamat Hairy Muhamat Omar Zuki dengan masa 59 minit 9 saat.
Pelumba dari Chile, Jeremias Israel atau Jere, penunggang Givi dan juga pernah bertanding di dalam Dakar Rally terpaksa mengakhiri perlumbaan kerana masalah teknikal dengan motosikal Triumph Scrambler 1200 XE beliau.
Masalah teknikal nampaknya menjadi punca utama lebih dari separuh pelumba yang memulakan perlumbaan tidak dapat menghabiskan sirkit itu.
Terbukti, ini ialah perlumbaan yang sangat sukar dan ini bakal akan menarik lebih ramai lagi pelumba luar negara.
Kejayaan Givi Rimba Raid 2018 telah membuka mata lebih ramai penaja. Tahun ini, Givi menjadi penaja utama dan dibantu oleh pelbagai jenama lain seperti Can Am dan lain-lain.
Pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), kerajaan negeri Pahang dan agensi-agensi lain seperti JPM, Bomba dan sebagainya turun memberi bantuan.
Kesemua mereka terkejut dengan kehadiran ramai peminat motosikal dan juga peserta-peserta antarabangsa.
Kebanyakan tempat tinggal di kawasan Janda Baik juga dipenuhi dengan peserta dan penonton yang mengambil peluang untuk menikmati alam sekitar yang ditawarkan oleh kawasan itu.
Givi pula berjaya menyemarakkan lagi acara Rimba Raid 2019 dengan kehadiran puluhan penunggang motosikal dari seluruh pelusuk dunia yang diterbangkan masuk untuk acara Givi Explorer Ride.
Explorer Ride ialah acara tahunan Givi di mana tahun ini ia diadakan di Malaysia dengan perjalanan selama 10 hari dan meliputi 2,500 km.