GIIAS 2022: Kia Carens 2022, dua pilihan enjin, dari RM118k

oleh Mohamad Hanif|
Generasi baharu Kia Carens telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran India pada penghujung tahun 2021 yang lalu, dan kini SUV tiga baris tempat duduk itu sedia menyerang pasaran Indonesia menerusi pengenalan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dengan kehadiran Kia Carens 2022 ini, ia dilihat mampu memberikan saingan sengit kepada segmen yang kini dikuasai oleh model hebat seperti Toyota Veloz, Mitsubishi Xpander, Honda BR-V serta pendatang baharu dari Hyundai, Stargazer.
 

Carens


Dari segi ukuran, Kia Carens membawakan dimensi sepanjang 4,540 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,700 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,780 mm.

Tidak seperti kebanyakan model dalam segmennya yang masih lagi setia dengan sistem suspensi yang ringkas, Kia Carens mendapat tetapan yang lebih maju, terdiri daripada topang MacPherson di hadapan dan suspensi multi-link di bahagian belakang.

Ini sekaligus menerangkan kenapa harga jualan Kia Carens yang sedikit premium berbanding model-model lain.
 

Carens


Secara standard, Kia Carens dilengkapi dengan rim 16 inci (tayar 205/65), unit lampu LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED serta bumbung suria berkuasa.

Untuk ruang kabin, Kia Carens menawarkan tempat duduk depan dengan ciri ventilasi dan balutan kulit artifisial, sistem pencahayaan ambien, tirai tingkap baris kedua, skrin kluster digital Supervision 4.2 inci, diikuti dengan skrin infotainmen lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
 

Carens


Selain itu, Kia Carens turut hadir dengan ciri pengecasan tanpa wayar Qi, sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara, serta sistem pendingin hawa automatik yang lengkap dengan corong untuk baris kedua dan ketiga.

Bergantung kepada spesifikasi, anda boleh mendapatkan konfigurasi enam penumpang (2-2-2) dengan kerusi kapten baris kedua atau tujuh penumpang pada satu-satu masa (2-3-2).
 

Carens


Terdapat dua pilihan enjin yang ditawarkan untuk pasaran Indonesia, di mana versi asas dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris Smartstream Gamma II 1.5 liter NA menghasilkan 115 PS @ 6,300 rpm dan daya kilas 144 Nm @ 4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi IVT (CVT).

Versi tertinggi pula mendapat nadi Kappa 1.4 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 140 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 242 Nm @ 1,500-3,200 rpm yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.
 

Carens


Ciri keselamatan yang dimuatkan secara standard adalah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Brek Menurun Cerun, ESC, sistem pemantauan tekanan tayar, serta kawalan jelajah.

Harga jualan Kia Carens di pasaran Indonesia bermula dari Rp 389,000,000 (RM117,568) untuk varian tujuh tempat duduk 1.5 MPI Premiere, manakala varian enam tempat duduk 1.4T Premiere pula memiliki tanda harga Rp 449,000,000 (RM135,806).

Berita Berkenaan

Berita Global
Berbanding dengan Xpander facelift, Xpander Cross facelift ini membawakan rupa paras yang lebih…
Berita Global
Untuk makluman, di Indonesia Daihatsu Ayla merupakan salah sebuah model yang dikategorikan sebagai…