GIIAS 2022: Daihatsu pamer Ayla EV, 80 hp, pek bateri 32 kWh, bakal jadi asas untuk Perodua Axia EV?

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan acara pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022, Daihatsu mengambil peluang dengan memperlihatkan sebuah kereta konsep kompak berkuasa elektrik, Daihatsu Ayla EV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk makluman, di Indonesia Daihatsu Ayla merupakan salah sebuah model yang dikategorikan sebagai Low Cost Green Car (LCGC) dan ia turut menjadi asas kepada sebuah model yang dijual di pasaran Malaysia, Perodua Axia.

Dengan menggunakan platform asal, pihak pembangun telah membuat pengubahsuaian dengan menggantikan unit enjin serta tangki bahan api dengan memasang trenkuasa motor elektrik berkuasa 80.5 hp serta pek bateri berkapasiti 32 kWh.

Selain daripada itu, struktur bahagian bawah badan dan juga suspensi turut diberikan penekanan bagi menampung trenkuasa elektrik pada model Ayla EV itu.
 

Ayla


Menurut Ketua Bahagian Perancangan Produk Astra Daihatsu Motor, Anjar Rosadi berkata, Daihatsu Ayla dipilih sebagai asas kenderaan elektrik memandangkan ia merupakan model pertama Daihatsu yang dibangunkan sepenuhnya di negara tersebut.

Tambahnya lagi, Ayla EV masih lagi dalam peringkat kajian dan belum sedia untuk dijual kepada umum.

Selain daripada model Ayla EV, Daihatsu juga turut mempamerkan model Daihasu Rocky Hybrid (atau Rocky e-Smart Hybrid).

Berdasarkan spesifikasi, Rocky e-Smart Hybrid didatangkan dengan trenkuasa yang terdiri daripada unit enjin 1.2 liter WA-VEX (82 hp/105 Nm) yang bertindak sebagai penjana kuasa kepada pek bateri 4.3 Ah dan motor elektrik berkuasa 106 hp dan 170 Nm.

Secara asasnya, ia memiliki prinsip operasi yang hampir sama dengan trenkuasa e-Power daripada Nissan.  

Seperti yang kita maklum, Indonesia kini giat mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik dan negara itu turut menerima pelaburan daripada syarikat-syarikat besar global untuk membuat pemasangan EV di sana.

Dengan adanya Daihatsu Ayla EV Concept ini, ia dilihat mampu menjadi asas kepada penawaran model kenderaan elektrik yang lebih mampu milik dan sesuai digunakan untuk golongan marhaen.

Satu persoalan, adakah Perodua sedia untuk menawarkan Axia EV pada masa akan datang?

Sumber: Viva ID