#GetCreativewithPorsche: 10 langkah melukis sebuah Porsche 911

oleh Mohamad Hanif|
Porsche 911, Nine Eleven merupakan kereta sports dua pintu bernadikan enjin boxer yang diposisikan di bahagian belakang dan membawakan rekaan badan yang ikonik semenjak ia mula diperkenalkan pada tahun 1960-an.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setelah hampir 60 tahun, rekaan Porsche 911 terus kekal dari satu generasi ke satu generasi, menyebabkan ia senang dan mudah untuk diingati.

Namun, adakah mengekalkan rekaan tersebut satu kerja mudah?

Tidak menurut Michael Mauer (bukan orang Muar), ketua unit rekaan Porsche, ini kerana ia adalah cabaran terbesar yang mereka hadapi semenjak beliau mengambil alih tugas tersebut pada tahun 2004.

Bersempena dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di beberapa buah negara, Mauer sebenarnya mahukan anda pelajari cara yang sesuai untuk melakar sebuah Porsche Nine Eleven sebagai sebahagian daripada siri kempen #GetCreativeWithPorsche.
 

Langkah 1


Jika ditanya kepada sepuluh orang pereka, anda mungkin akan mendapat sehingga lima pendekatan yang berbeza.

Sesetengah daripadanya bermula dari rekaan roda, ada yang mula dari roda hadapan dan meneruskan rekaan bahagian hadapan sebelum beralih kepada roda belakang dan seterusnya.

Bagi Mauer, beliau lebih gemar memulakan lakaran dengan dua roda terlebih dahulu, ini kerana salah satu cabaran melukis kereta adalah mendefinisikan jarak antara roda serta perkadaran yang tepat.

Dengan cara ini menurut Mauer, beliau dapat mengagak sekiranya roda belakang berada di dalam posisi yang salah, dan dari sini kesalahan tersebut boleh dipadam dengan mudah.
 

Langkah 2


Apabila rekaan roda sudah siap, langkah seterusnya adalah lakaran kasar bentuk kereta yang diinginkan, dalam hal ini, Porsche 911.

Menurut Mauer, 'Y zero section' yang kerap dicanangkan oleh para pereka dan jurutera sebenarnya merujuk kepada silhouette dan silhouette ini sememangnya ikonik untuk Porsche 911.

Jadi, jika anda dapati silhouette dan jarak antara roda tidak sekata, usah risau kerana disini gunanya pemadam!
 

Langkah 3


Setelah berpuas hati, anda sudah boleh menambah beberapa butiran satu demi satu, seperti contoh rekaan tingkap atau dalam bahasa lainnya DLO (day light opening).

Rekaan DLO sangat berbeza dari satu kereta ke satu kereta yang lain, dan ia lebih unik dan ikonik pada Porsche 911 jika dibandingkan dengan Cayenne atau Panamera.

Ini merupakan perincian pertama yang Mauer tambah sebelum beralih kepada bentuk lampu hadapan dan butiran di bahagian belakang.


Langkah 4


Langkah keempat ini merupakan langkah di mana anda boleh menambah lebih banyak butiran terhadap lukisan anda.

Di dalam langkah ini, Mauer mula menambah beberapa perincian seperti bukaan ruang udara, garisan lengkung pada badan kereta serta rekaan bumper belakang yang lebih terperinci.

Menurut Mauer, penambahan garisan ini bakal memberikan visualisasi tiga dimensi yang lebih baik, apatah lagi Porsche 911 jika dilihat dari atas memiliki jarak trek yang lebih lebar di bahagian roda belakang.

Anda boleh merujuk Langkah 3 untuk mengenal pasti beberapa garisan yang telah ditambah oleh Mauer.
 

Langkah 5


Lebih banyak perincian telah ditambah pada langkah kelima ini seperti pemegang pintu, termasuk beberapa garisan bagi mencipta ilusi ketebalan yang berbeza pada beberapa bahagian kereta.

Untuk pemahaman yang lebih jelas, Mauer menyarankan anda supaya mengambil beberapa keping foto kereta berlatarbelakangkan pemandangan yang cantik dan lihat beberapa garisan indikasi perlakuan permukaan positif dan negatif.

Garisan ini bakal memberikan anda idea untuk menajamkan lagi skil lukisan, serta 'menghidupkan' lagi lakaran anda.
 

Langkah 6


Jika lima lakaran pertama hanya menyentuh soal garisan, langkah keenam merupakan masa untuk anda bermain dengan aspek bayang dan kontras ke dalam lakaran.

Bahagian yang terang melambangkan kawasan yang memantulkan cahaya, begitu juga sebaliknya untuk bahagian yang memiliki banyak garisan.
 

Langkah 7 - masa untuk mewarna!


Jika anda terbiasa dengan aplikasi Photoshop, ia bagaikan menambah satu layer ke dalam projek anda.

Di sini anda boleh bereksperimentasi dengan warna bagi menghidupkan lakaran Porsche 911 itu tadi.

Dalam lakaran di atas,  Mauer menjelaskan bahawa penggunaan warna biru yang lebih cerah sebagai lambang refleksi langit, manakala bahagian yang gelap melambangkan refleksi lantai - ini memberikan impresi kenderaan berada di atas tanah.

Jika anda tidak mahir dengan Photoshop, usah risau kerana Mauer pun tak berapa pandai rupanya!

Jadi, beliau sarankan penggunaan cat air atau krayon untuk langkah ini sebagai permulaan.
 

Langkah 8


Setiap pereka memiliki cara tersendiri dalam menggambarkan bahagian kaca atau DLO itu tadi, namun Mauer menggunakan warna hitam pada fasa awal termasuklah untuk bahagian roda.


Langkah 9


Bahagian DLO tadi diperincikan dengan lebih ketara dengan menambah kontras warna, di mana bahagian atas lebih gelap berbanding bahagian bawah.

Perubahan warna ini mencipta impresi bahawa kereta ini memiliki DLO yang berlengkung.

Anda boleh juga aplikasikan teknik yang sama untuk bahagian rim.
 

Langkah 10


Dengan teknik yang disebutkan pada Langkah 9, anda boleh aplikasikan benda yang sama pada keseluruhan lukisan, serta menambah beberapa perincian yang dirasakan perlu.

Menurut Mauer, melukis atas kertas, dalam satu dimensi tidak seperti komputer, anda sememangnya memerlukan teknik yang sesuai menggunakan warna dan bayang untuk mencipta ilusi kedalaman dan penampakan tiga dimensi.

Sumber: Porsche