Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng, berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kejayaan meraih kontrak itu yang dilihat bertepatan dengan detik penting syarikat selepas penyenaraiannya.
"Kami sangat gembira menerima dua anugerah kontrak ini. Pasukan kami bersedia sepenuhnya dan keupayaan teknikal kami membuktikan bahawa Geohan merupakan rakan cerucuk yang dipercayai untuk projek infrastruktur berskala besar.
"Kami yakin dapat melaksanakan projek ini dengan cemerlang dan memberikan hasil terbaik kepada pelanggan," katanya.
Kerja-kerja pembinaan bagi BP01 dijangka siap pada 31 Mac 2027, manakala BP02 dijangka ditamatkan pada 30 April 2027.
Kontrak baharu ini dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan Geohan untuk tempoh dua tahun akan datang, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat.
Geohan hari ini mencatatkan satu lagi detik bersejarah apabila disenaraikan secara rasmi di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, mencatatkan jumlah dagangan tinggi sebanyak 201.73 juta unit sehingga petang Jumaat.
Setakat ini, Geohan merupakan syarikat kelapan yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd bagi tahun 2025.
Pencapaian ini menandakan kemajuan berterusan syarikat dalam usaha mengukuhkan profil pasaran, memperluas kredibiliti dan memperteguh kedudukannya sebagai antara pemain utama industri.
Penyenaraian ini juga membuka laluan kepada pertumbuhan masa depan dan peluang baharu bagi Geohan.
Geohan merupakan syarikat berpengalaman dalam kerja-kerja asas dan kejuruteraan geoteknikal, termasuk kerja cerucuk, struktur penahan tanah dan penstabilan cerun, dengan projek penting yang pernah disertai termasuk First World Hotel Genting Highlands, Sky Avenue, sistem kereta kabel Genting, MRT Lembah Klang dan ECRL.