Gentian karbon boleh baiki ke? Lamborghini boleh dan diperakui TÜV!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Sesto Elemento
Lamborghini Sesto Elemento
Kenderaan buatan Automobili Lamborghini memang menarik dengan reka bentuk yang menyerlah dan bunyi enjin V12 serta ekzos nyaring.

Di sebalik karakter tersebut satu lagi ciri yang membentuk identiti Lamborghini ialah penggunaan gentian karbon ringan.

Penggunaan bahan tersebut membantu Lamborghini mengurangkan berat seterusnya meningkatkan prestasi kereta. 

Lamborghini lama dalam bidang ini dan boleh dikatakan berada di hadapan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan serta pendekatan inovatif lebih daripada 35 tahun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Countach Evoluzione (1983)

 

Menggunakan gentian karbon bukan mudah, perlu kajian mendalam dan berikut ialah 12 pencapaian Lamborghini dalam bidang tersebut:

1. Pembangunan dan penggunaan gentian karbon kali pertama - 1983

Lamborghini menubuhkan bahagian Esperienza Materiali Compositi (E.co) pada tahun 1983 dan menariknya menggunakan pengetahuan dari Seattle, Amerika Syarikat.

Pengetahuan itu diperoleh dari penggunaan pertama komponen yang diperbuat dari gentian karbon dan Kevlar pada pesawat Boeing 767.

Susulan itu Lamborghini menghasilkan casis pertama yang diperbuat dari gentian karbon dan hasilnya boleh dilihat pada model prototaip Countach Evoluzione.

Ini juga kali pertama Lamborghini menggunakan bahan komposit dan pertama seumpamanya digunakan untuk projek kereta jalanan.

 

CFK Lamborghini Carbon production (2011)

 

2. Kerjasama dengan University of Washington (UW) - 2007

Di dalam bidang kejuruteraan automotif adalah perkara biasa untuk pengeluar bekerjasama dengan institusi pendidikan.

Kerjasama ini menyaksikan Lamborghini menyerahkan beberapa aspek pembangunan teknologi resin transfer molded (RTM) kepada UW.

Dari teknologi tersebut terhasilnya asas kepada casis monocoque di dalam Aventador.

Pada tahun sama, sebuah bahagian ditubuhkan di dalam Pusat Penyelidikan dan Pembangunan yang kini dikenali sebagai Pusat Pembangunan Komposit.

Bahagian ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan kepada bahan inovatif serta konsep pembangunan dan teknologi baharu bagi penggunaan gentian karbon. 

3. Perjanjian kerjasama pertama dengan Boeing - 2008

Kerjasama ini dibentuk bagi mengkaji sifat bahan komposit dan casis monocoque Aventador di dalam kemalangan.

Penglibatan yang mendalam meletakkan Lamborghini di kedudukan pertama di dalam industri automotif menggunakan teknologi bahan komposit, proses, simulasi dan kaedah tingkah laku (characterization) dari industri aeronautik dan aeroangkasa.

4. Kerjasama dengan Boeing dan Callaway, syarikat peralatan golf - 2010

Bukan sahaja bekerjasama dengan Boeing, Lamborghini turut bersama pengeluar peralatan golf Callaway.

Hasil dari kerjasama dengan kedua-dua Boeing dan Callaway, Lamborghini membangunkan teknologi Forged Composites®.

Teknologi itu kemudiannya digunakan untuk menghasilkan kereta konsep Sesto Elemento dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Pada tahun yang sama, Lamborghini membina kilang khusus di Sant’Agata Bolognese bagi mengeluarkan komponen komposit. 

5. Pelancaran Lamborghini Aventador LP 700-4 - 2011

 

Lamborghini Aventador Carbon Fiber Monocoque (2011)

 

Model ini menggunakan casis monocoque dari gentian karbon yang direka dan dikeluarkan sepenuhnya di kilang Lamborghini di Sant’Agata Bolognese.

Rangka badan (body shell) Aventador diperbuat dari gentian karbon dan kehebatannya terserlah apabila casis Aventador hanya seberat 229.5 kg. 

Lamborghini menghasilkan sendiri casis monocoque kerana pada masa itu tidak ada syarikat yang mempunyai keupayaan bagi membekalkannya.

Kebanyakan bahagian yang digunakan untuk menghasilkan casis monocoque dibuat menggunakan teknologi RTM-Lambo yang dipatenkan.

 

Lamborghini Sesto Elemento (2010)

 

Proses ini tidak memerlukan laminasi manual dan autoklaf. Lamborghini menggunakan kaedah acuan gentian karbon seterusnya mengurangkan masa pengeluaran.

Proses pembuatan ini meletakkan RTM-Lambo sebagai teknologi pengeluaran termaju.

Tahun 2011 juga menyaksikan kerjasama baharu dengan Boeing bagi membangunkan proses pembaikan (Repair Strategy).

6. Syarikat automotif pertama di dunia memperolehi perakuan TÜV bagi pembaikan gentian karbon untuk kereta - 2014

 

TUV certification (2014)

 

Ada yang kata gentian karbon tidak boleh dibaiki, hakikatnya boleh dan perlu kemahiran pakar seterusnya diiktiraf oleh badan berkredibiliti.

Lamborghini adalah syarikat automotif pertama di dunia menerima perakuan TÜV bagi pembaikan gentian karbon untuk kereta.

Pakar dari TÜV Italia telah mengaudit Lamborghini dan skop yang diberi perakuan merangkumi akauntabiliti, kebolehkesanan, kebolehpercayaan, pematuhan masa dan ketepatan.

Khidmat pembaikan ini dibuat oleh pakar dengan panggilan khas Flying Doctors.

 

TUV certification (2014)

 

Para profesional ini telah menjalani latihan awal di Bahagian Pembaikan Boeing Co. dan kemudian menyertai latihan lanjutan di Abaris Training Resources Inc. di Nevada.

Di sana mereka berjaya memperolehi kelayakan Advanced Composite Structures Damage Repair yang diiktiraf oleh Badan Pentadbiran Penerbangan Amerika Syarikat (US Federal Aviation Administration).

Objektif utama Lamborghini dalam khidmat ini supaya pembaikan gentian karbon yang dibuat mempunyai persamaan 100 peratus dengan komponen asal.

7. Penghasilan Carbonskin®, lebih ringan daripada Alcantara dan kulit - 2015

 

Carbon Skin Automobili Lamborghini (2015)

 

Bukan setakat gentian karbon, Lamborghini turut melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk bahan di dalam kereta.

Carbonskin® adalah satu lagi bahan yang dipatenkan oleh Lamborghini dan mempunyai berat lebih ringan berbanding Alcantara dan kulit iaitu 28 peratus dan 65 peratus.

Lagi karakteristk menarik pada bahan ini ialah efek tiga dimensi, sifat semula jadi seperti gentian karbon dan kelembutan langsung (serta-merta) apabila disentuh jika dibandingkan dengan bahan lain.

8. Makmal kajian gentian karbon baharu - 2016

 

Advanced Composite Structures Laboratory Seattle (2016)

 

Lamborghini membuka makmal baharu dalam bidang gentian karbon iaitu Advanced Composite Structures Laboratory (ACSL) di Seattle, AS.

Makmal ini berfungsi sebagai kemudahan luar untuk Lamborghini yang berpusat di Itali dengan fokus dalam bidang inovasi gentian karbon.

9. Kajian dalam bidang perubatan - 2017

Tidak hanya tertumpu dalam bidang automotif, Lamborghini membuat penyelidikan secara bersama dengan Institut Penyelidikan Methodist Houston.

Di dalam kerjasama ini, Lamborghini berkongsi pengetahuan dalam bidang komposit gentian karbon dan kajian bersama mengenainya dalam bidang perubatan.

Kajian yang dibuat ialah tentang in-vitro biocompatibility (kajian reaksi) bahan komposit yang mempunyai potensi untuk digunakan di dalam pembangunan implan prostetik (gantian anggota badan) dan alatan subkutan (subcutaneous devices/bawah kulit).

Objektif kajian ini ialah bagi mengenal pasti bahan yang lebih ringan serta sesuai dengan badan manusia dan lebih tahan lasak berbanding bahan sedia yang digunakan di dalam bidang perubatan.

10. Ujian di angkasa - 2019

 

Carbon Fiber on Iss - northrop grumman antares crs (2019)

 

Sekali lagi Lamborghini mencipta sejarah dan kali ini menjadi pengeluar kereta pertama di dunia yang membuat kajian tentang gentian karbon di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Penyelidikan bersama Institut Penyelidikan Methodist Houston itu adalah tentang komposit gentian karbon termaju yang dimulakan dua tahun sebelumnya.

Ujian di ISS dibuat dengan menganalisa tindak balas lima bahan komposit berbeza yang dihasilkan Lamborghini terhadap tekanan ekstrem di dalam persekitaran angkasa lepas.

Ujian itu juga melihat kebolehgunaan untuk masa depan oleh Lamborghini dan bidang perubatan.

11. Pelancaran Lamborghini Essenza SCV12, kereta pertama dengan rangka keselamatan gentian karbon - 2021

 

Automobili Lamborghini Essenza SCV12

 

Ini adalah model pertama di pasaran dengan rangka keselamatan (roll cage) yang diluluskan (type approved) mengikut standard keselamatan kereta hiper FIA.

Monocoque gentian karbon model ini dibuat menggunakan autoklaf dan diperkukuhkan pada beberapa bahagian.

Apa yang penting ialah ianya mampu untuk menahan daya lebih daripada 12 tan tanpa perubahan ketara semasa ujian statik dan dinamik yang ekstrem bagi mendapatkan kelulusan FIA.

Ada lebih 20 ujian statik dibuat selain pada casis dan merangkumi pedal, tangki minyak dan tali pinggang keledar.

Ujian pelanggaran dinamik pula melibatkan impak pada kelajuan melebihi 14 meter per saat. 

Di dalam ujian ini adalah penting untuk memastikan casis benar-benar selamat buat pemandu dan tangki minyak tidak bocor.

12. Kelestarian dan kitar semula 

 

Automobili Lamborghini Carbon Key Holder

 

Ini adalah bidang yang wajib diberi perhatian oleh industri. Dalam mengkaji bahan komposit, Lamborghini turut memberi perhatian kepada kelestarian proses pembuatan bahan tersebut.

Program penyelidikan dan projek yang dilakukan oleh jurutera Lamborghini telah membawa kepada pelaksanaan teknologi pengeluaran khusus yang mengurangkan penggunaan tenaga.

Teknologi itu juga mengurangkan penggunaan air dan jumlah sisa pengeluaran komposit secara signifikan.

Menariknya, kesemua bahan buangan digunakan semula sama ada di dalam kenderaan atau penggunaan lain di kilang seperti panel atau troli.

Buangan yang tidak dapat digunakan dikumpulkan dan dikitar semula untuk mendapatkan kembali gentian atau serat bagi menghasilkan produk baharu seperti panel lantai kenderaan.

Juga menarik ialah bahan tersebut dijadikan sebagai produk cenderamata untuk pelanggan dan tetamu di dalam acara yang dianjurkan Lamborghini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Sesto Elemento (2010)

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Lamborghini Huracán STO   Akronim model Lamborghini suatu yang menarik dan STJ singkatan …
Berita Global
Menurut Lamborghini, identiti logo baharu itu akan digunakan pada semua keretanya mulai sekarang…
Berita Global
  Walaupun berusia, 350 GT kekal anggun yang merupakan hasil rekaan dan dikeluarkan oleh …