Genesis G90 2020, sedan mewah Korea dengan wajah berani

oleh Muhammad Md Tajudin|
Genesis adalah subsidiari kenderaan premium di bawah kumpulan automotif Hyundai. Jenama ini bersaing dengan pengeluar kenderaan premium terkenal seperti Mercedes-Benz, BMW, Audi, Lexus dan sebagainya.

Dalam barisan produk Genesis, model G90 berada di aras tinggi sebagai sedan perdana (flagship) syarikat itu.

Sempena Pameran Auto Los Angeles, Genesis G90 facelift diperkenalkan dan seperti sebelumnya hadir dengan bahagian depan yang cukup berani.

Genesis tidak hanya membuat perubahan minor malah melibatkan bahagian luar dan dalam seterusnya memperhalusi tema rekabentuk yang dipanggil Athletic Elegance dan Horizontal Architecture.

Facelift kitaran pertengahan produk ini melibatkan kesemua panel badan G90 ditukar atau digantikan kecuali pintu dan bumbung asli yang masih kekal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Genesis G90

 

Perubahan dari depan hingga belakang tersebut merupakan evolusi kepada bahasa rekabentuk Athletic Elegance. Satu bahagian yang jelas menonjol ialah jeriji depan yang dipanggil Crest Grille dan merupakan signatur kepada Genesis.

Bahagian belakang pula menggunakan lampu yang bersambung dari kiri dan kanan kereta. Lokasi plat pendaftaran diletakkan ke bawah yang mungkin bagi menampilkan bentuk badan rendah dan kedudukan lebar.

Bahagian dalaman menggunakan tema Horizontal Architecture. Susunan komponen tidak kalut dan membentuk susunan harmoni sesuai dengan posisi G90 sebagai sedan mewah. 

Dari segi kuasa, G90 ditawarkan dengan dua jenis enjin berdasarkan varian 3.3T Premium dan 5.0 Ultimate. 

Seperti nama yang diberikan, varian 3.3T dibekalkan enjin 3,300 cc turbo V6 dengan output 356 hp dan tork 510 Nm. Sebuah lagi pilihan didatangkan dengan enjin 5,000 cc V8 dengan kuasa 420 hp dan tork 519 Nm.

Kedua-dua enjin itu dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan automatik dengan pacuan standard roda belakang atau pilihan semua roda (AWD).

Sistem keselamatan G90 perlu seiring dengan segmennya yang mana teknologi Advanced driver-assistance systems (ADAS) sudah pun menjadi kelengkapan wajib untuk model premium.

 

Genesis G90

 

Sedan perdana ini dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemanduan seperti Lane Following Assist (LFA), Rear Cross-traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Safe Exit Assist (SEA) dan Highway Driving Assist (HDA).

Kepada yang tertanya tentang Genesis atau G90, jenama ini sebenarnya lebih tertumpu kepada pasaran terpilih seperti Korea Selatan, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara sahaja.

Jumlah pembeli untuk segmen dan permintaan model ini tidak besar, apa yang penting ialah jika pengeluar lain mampu, Genesis juga mampu buat.

Penulis: Muhammad Md Tajudin