Genesis G80 2020 - sedan mewah saiz penuh Kimchi

oleh Mohamad Hanif|
Setelah memperkenalkan bahasa rekaan 'Quad Lamps' pada SUV Genesis GV80 pada awal tahun lalu, Genesis meneruskan penawaran tersebut pada sedan saiz penuh mereka, Genesis G80.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disebabkan wabak coronavirus yang masih belum reda, Genesis melancarkan secara rasmi sedan G80 tersebut menerusi acara yang dipaparkan secara dalam talian.

 


Sedan generasi kedua Genesis G80 dibangunkan menggunakan platform pacuan roda belakang generasi ketiga yang dibina daripada aluminium, menjadikan berat keseluruhan lebih ringan 19 peratus, selain menawarkan ruang kabin yang lebih luas.

Tidak cukup dengan itu, titik graviti juga direka supaya lebih rendah bagi menambah baik tahap pengendalian sedan pacuan roda belakang ini.

Dari segi luaran, sedan ini membawakan rekaan muka hadapan yang hampir serupa dengan G80 termasuklah rekaan Quad Lamps dan gril yang agak besar itu.

 


Cuma, apa yang membezakan antara kedua buah model tersebut adalah rekaan gril G80 yang direka memanjang ke bahagian bawah bumper hadapan.

Rekaan rim juga turut membawakan rupa yang sama seperti apa yang terdapat pada SUV GV80 dengan kemasan perak bersaiz 20 inci.

Di bahagian fender hadapan, Genesis turut mendatangkan rekaan lampu isyarat membelok berkembar untuk diselarikan dengan rekaan lampu Quad Lamps itu tadi.

Unit pacuan yang ada pada G80 generasi terdahulu tidak lagi dibawakan pada generasi baharu, sebaliknya G80 2020 ini hadir dengan enjin 2.5 liter empat silinder berkuasa turbo menghasilkan 300 kuasa kuda dan 421 Nm daya kilas.

Versi paling berkuasa pula dilengkapkan dengan nadi V6 3.5 liter turbo yang mampu menjana 375 hp dan 530 Nm, manakala versi diesel pula hadir dengan enjin 2.2 liter yang berupaya menghasilkan 207 kuasa kuda.

 


Memasuki ruang kabin pula, Genesis G80 mula menawarkan kelainan yang tersendiri, sesuai dengan status sebagai sedan paling mewah jenama Korea.

Di hadapan, terdapat skrin infotainmen bersaiz 14.5 inci yang bertenggek di tengah papan pemuka dan dikawal dengan alat kawalan 'touch-and-write', manakala di bahagian pemandu pula terdapat skrin kluster digital 3D bersaiz 12.3 inci yang dilengkapi dengan paparan head-up.

Ciri seperti sambungan kepada Android Auto dan Apple CarPlay didatangkan sebagai standard, manakala kemasan yang dibawakan pula menyamai apa yang ditawarkan pada SUV GV80.

 


Untuk menjadikan pemanduan lebih selamat, Genesis G80 hadir dengan kelengkapan bantuan pemanduan termaju seperti brek kecemasan automatik, sistem pengelakan pelanggaran titik buta, serta Highway Driving Assist II yang menampilkan ciri pelayaran pembelajaran mesin.

Ciri ini mampu mempelajari tabiat pemanduan seseorang pemandu dan membolehkan kenderaan menukar laluan apabila pemandu menyalakan lampu isyarat membelok di lebuhraya.

Sedan Genesis G80 akan mula dijual di Korea pada 30 Mac sebelum menembusi pasaran global pada separuh kedua tahun ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Sehingga Ogos 2023, pengeluar dari Korea Selatan itu akhirnya secara rasmi menghasilkan lebih satu…
Berita Global
Untuk meraikan kemasukan pengeluar automotif mewah ke pasaran tersebut, Genesis memulakan…