Generasi baharu crossover kompak mewah Lexus NX 2022 rasmi dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
Lexus secara rasminya melancarkan generasi baharu crossover kompak Lexus NX 2022 di mana ia merupakan sebahagian daripada perancangan memperkenalkan 20 buah kenderaan baharu serta kenderaan yang dikemaskini menjelang tahun 2025.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dibangunkan atas pelantar TNGA-K yang lebih ringan berbanding model terdahulu, Lexus NX 2022 turut mendapat manfaat yang ditawarkan seperti titik graviti yang lebih rendah, pemanduan yang lebih dinamik serta casis yang lebih kuat.

Penawaran crossover baharu itu turut disertakan dengan beberapa pilihan enjin termasuklah enjin 2.5 liter yang menghasilkan 203 kuasa kuda dan 249 Nm, sistem transmisi automatik enam kelajuan, dan pecutan 0-96 km/j dalam masa 8.2 saat (pacuan roda depan) atau 8.6 saat (AWD).

 


Terdapat juga versi enjin 2.4 liter turbo yang mampu menjana 275 hp dan 430 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan pecutan 0-96 km/j dalam masa 6.8 saat.

Versi hibrid NX 350h pula datang dengan tetapan enjin 2.5 liter, serta motor elektrik pada gandar belakang yang mampu menawarkan pacuan semua roda.

Secara keseluruhan, NX 350h ini mampu menghasilkan 239 hp, dengan pecutan 0-96 km/j mengambil masa sekitar 5.7 saat dengan pulangan penggunaan bahan api sekitar 6.5 liter untuk setiap 100 km.

 


Versi plug-in hybrid (PHEV) NX 450h+ pula didatangkan dengan tetapan trenkuasa yang serupa dengan spesifikasi Toyota RAV4 Prime, di mana Lexus NX450h+ mampu menawarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 58 km dan pecutan 0-96 km/j dalam masa enam saat.

Pek bateri NX 450h+ mengambil masa kira-kira 4.5 jam untuk dicas menggunakan pengecasan standard 3.3 kW dan boleh dipercepatkan kepada 2.5 jam sekiranya menggunakan pengecasan 6.6 kW yang ditawarkan sebagai opsyen.

Khusus untuk NX 450h+ adalah sistem Predictive Efficient Drive yang bakal mempelajari tabiat pemanduan, memberikan cadangan laluan serta menganalisa laporan trafik untuk mengoptimasikan pengecasan dan nyah-cas bateri hibrid.

 


Dari segi luaran, Lexus NX 2022 membawakan perubahan rekaan yang signifikan, di mana muka hadapan crossover ini menampilkan rekaan jeriji spindle yang direka semula dengan penampilan ala tiga dimensi, unit lampu utama yang diberikan nafas baharu serta lampu nyalaan siang terbina dalam.

Bahagian sisi SUV ini menampilkan rekaan yang kemas, sementara bahagian belakang pula menampilkan perkataan LEXUS menggantikan emblem L yang melambangkan hala tuju baharu Lexus dalam membawakan penjenamaan mereka.

 


Sementara ruang kabin pula menempatkan sistem yang digelar sebagai Lexus Interface, terdiri daripada skrin paparan kluster digital bersaiz tujuh inci, serta sistem infotainmen bersaiz 9.8 inci (atau 14 inci bergantung kepada varian) yang diposisikan supaya lebih berorientasikan pemandu.

Tempat duduk hadapan kini didatangkan standard dengan sistem pemanas terbina, selain daripada ciri lain seperti bumbung bulan panorama, cermin pandang belakang digital, paparan head-up 10 inci, pengecasan peranti pintar nirwayar, serta pencahayaan ambien dengan 14 tema dan 64 warna pilihan.

Aspek keselamatan Lexus NX 2022 terdiri daripada kelengkapan Lexus Safety System+ 3.0 yang terdiri daripada:

  • Kawalan Jelajah Dinamik Radar
  • Suluhan Tinggi Pintar
  • Bantuan Papan Tanda Jalan
  • Bantuan Pengekalan Laluan
  • Sistem Pra-Pelanggaran yang dikemaskini dengan Pengesanan Kenderaan Arah Hadapan

Selain daripada ciri yang disebutkan di atas, Lexus NX 2022 didatangkan dengan ciri 'Digital Latch' dan juga teknologi Safe Exit Assist yang mampu menghalang pintu daripada dibuka sekiranya terdapat kenderaan atau penunggang basikal yang datang dari arah belakang dalam jarak dekat.

 


Tidak ketinggalan, Lexus turut menawarkan pakej F Sport yang merangkumi penambahan ciri seperti sistem suspensi boleh laras aktif, peredam berprestasi tinggi, gril hadapan yang lebih tersendiri, bampar sporti dan rim aluminium hitam berkilat bersaiz 20 inci.

Kemasan dalam kabin untuk pakej F Sport terdiri daripada tempat duduk sport dua tona, pedal aluminium, upholsteri berliang NuLuxe, roda stereng yang lebih sporti, scuff plate khas dan aksen Dark Graphite Aluminium.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Untuk pasaran tempatan, terdapat dua versi yang boleh dipilih, iaitu NX 250 Luxury dan versi yang…