Berdasarkan laporan daripada OtoDriver, sumber itu memberitahu generasi baharu Agya/Alya yang juga digunakan oleh Perodua sebagai model Axia itu bakal mendapat nadi yang disumberkan daripada Toyota Raize/Daihatsu Rocky.
Ini bermakna, Perodua Axia baharu nanti mungkin sekali akan mendapat pilihan enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang mampu menjana kuasa 98 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 140 Nm @ 2,400-4,000 rpm.
Sementara model di Indonesia pula bakal mendapat nadi aspirasi natural 1.2 liter WA-VE dengan kuasa 88 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 112.7 Nm @ 4,500 rpm.
Pilihan transmisi pula terdiri daripada kotak gear manual lima nisbah kelajuan atau D-CVT, sementara di Malaysia pula Perodua Axia 2023 mungkin sekali hanya akan ditawarkan dengan transmisi D-CVT sahaja, melihatkan kepada penurunan permintaan terhadap model tiga pedal.
Berdasarkan berita yang pernah Careta laporkan sebelum ini, model hatchback segmen B itu kini tidak lagi ditawarkan dengan transmisi manual, disebabkan permintaan pasaran yang lebih menggemari transmisi automatik yang lebih mudah dan senang untuk dipandu.
Beberapa bulan yang lalu, Daihatsu mengambil peluang dengan memperlihatkan sebuah kereta konsep kompak berkuasa elektrik, Daihatsu Ayla EV.
Dengan menggunakan platform asal, pihak pembangun telah membuat pengubahsuaian dengan menggantikan unit enjin serta tangki bahan api dengan memasang trenkuasa motor elektrik berkuasa 80.5 hp serta pek bateri berkapasiti 32 kWh.
Selain daripada itu, struktur bahagian bawah badan dan juga suspensi turut diberikan penekanan bagi menampung trenkuasa elektrik pada model Ayla EV itu.
Sumber: OtoDriver