Gemilang International Limited bekal 140 bas sekolah elektrik untuk Amerika Syarikat

oleh Mohamad Hanif|
Gemilang International Limited (GML), pengeluar bas dan badan bas terkemuka Asia yang berpangkalan di Johor dijangka menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat (AS) tahun ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Langkah itu akan memacunya untuk mempromosikan penggunaan penyelesaian mesra alam untuk bas dan badan bas.

GML mereka bentuk dan mengeluarkan badan bas, selain memasang bas selama lebih 30 tahun.

Projek terkenalnya baru-baru ini termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Metro Kuching dan projek perintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.

Ia membekalkan bas aluminium untuk pengendali bas Go KL, Rapid KL, Rapid Pulau Pinang dan bas pengantara MRT untuk tempoh 13 tahun lalu

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong, berkata syarikat yang disenaraikan di Hong Kong itu membekalkan bas elektrik (EV) ke AS sejak 2016, walaupun pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api fosil.

"Malah, GML membekalkan badan bas untuk pelbagai pengeluar EV seperti BYD dan CRRC untuk dipasarkan ke beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia sejak 2015.

"Kami menjangkakan lebih banyak negara akan mengikuti peralihan kepada EV sebagai peningkatan komitmen iklim yang telah diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia," katanya.

Chong Yong berkata, tempahan 120 unit bas sekolah sepanjang 12 meter dan 20 unit lagi sepanjang 7.5 meter adalah luar biasa bukan hanya kerana ia menjadi satu kejayaan untuk pasaran AS, tetapi ia juga membabitkan kuantiti terbesar daripada satu pesanan bas EV yang pernah diterima olehnya.

"Pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan berpotensi. Ini adalah hasil daripada Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) diumumkan baru-baru ini yang ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS, Joe Biden, dengan memperuntukkan AS$2.5 bilion (kira-kira RM10.5 bilion) untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah sekitar AS.

"Dengan rancangan baharu untuk menukar kesemua 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan emisi sifar, kami yakin dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dengan pengalaman industri selama tiga dekad kami serta kelebihan daya saing utama membabitkan struktur aluminium super ringan," katanya.

Beliau menjelaskan, GML memberi tumpuan kepada membina badan bas dan bas yang mesra alam, selain telah menggunakan penyelesaian badan aluminium selama lebih daripada 20 tahun.

"Teknologi ringan, bebas kakisan berasal dari Switzerland dan sudah dibuktikan oleh pelanggan kami dari lebih 15 pasaran di seluruh dunia.

"Biasanya, bas kami tahan lebih lama dan dianggap lebih selamat daripada bas berbadan keluli. Saya gembira kerana ini membantu kami mengembangkan jejak di pasaran AS," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Bernama, GML menyifatkan kontrak tersebut berupaya mengukuhkan kedudukannya di Asia…