Geely Xingyue L rasmi dilancarkan - SUV bertaraf mercu dengan sistem autonomi Tahap 2

oleh Mohamad Hanif|
Geely Auto baru-baru ini secara rasmi melancarkan SUV baharu yang dibangunkan atas pelantar Compact Modular Architecture (CMA) untuk pasaran China bertempat di bandar Hangzhou.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Xingyue L merupakan model ketiga di bawah siri mercu 'Star' Geely selepas model SUV coupe Xingyue S dan sedan Preface, di mana Geely mendakwa sudah pun mendapatkan hampir 30,000 unit tempahan.

Dari segi dimensi, Xingyue L menawarkan ruang kabin yang luas, terima kasih kepada ukuran jarak antara roda sepanjang 2,845 mm serta lebar 1,610 mm.

 


SUV Xingyue L ini dijana menggunakan enjin yang dibangunkan bersama Volvo dan Geely, iaitu nadi 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan untuk versi standard dengan pacuan roda hadapan atau automatik Aisin lapan nisbah kelajuan dengan pacuan semua roda BorgWarner.

Dua talaan diberikan di mana versi aras mula didatangkan dengan angka output setinggi 218 PS dan 325 Nm serta pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 7.9 saat, manakala versi yang lebih berkuasa hadir dengan angka output 238 PS/380 Nm, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Selain daripada enjin biasa, Xingyue L juga bakal menampilkan trenkuasa hibrid terkini Geely (GSH2.0) yang akan diperkenalkan secara rasmi pada suku keempat 2021 dengan kadar kecekapan haba 43.2 peratus dan penjimatan bahan api melebihi 40 peratus.

 


Geely Xingyue L menawarkan sehingga lima mod pemanduan iaitu ECO, NORM, SPORT, SNOW, dan mod pemanduan OFFROAD.

Sementara ruang kabin Xingyue L pula menggandingkan penggayaan dari dua dunia (Timur dan Barat), di mana elemen kenderaan moden seperti upholsteri suede diseimbangkan dengan unsur-unsur China seperti simpulan klasik.

Namun begitu, Geely tetap mendatangkan kelengkapan moden seperti paparan infotainmen dengan sistem operasi Milky Way OS, skrin kluster instrumen digital, serta paparan head-up terimbuh bersaiz 25.6 inci  yang boleh memaparkan informasi semasa serta sistem navigasi tanpa mengganggu tumpuan pemandu.

 


Sistem hiburan dilengkapi dengan audio berprestasi tinggi BOSE dengan 10 pembesar suara, sistem pencahayaan ambien LED 72 warna, teknologi pengurangan bunyi hingar enjin harmonik dan penebatan suara dua lapisan bagi mencipta suasana kabin seakan dewan konsert simfoni.

Menurut Geely, Xingyue L merupakan model terkini yang didatangkan dengan teknologi pemanduan autonomi melebihi Tahap Kedua (Level 2 Autonomy), dibantu oleh teknologi 5G yang membolehkannya melakukan aksi meletakkan kereta dengan sendiri di dalam ruang parkir, dan datang sendiri kepada tuannya apabila diseru.

Ciri ini mampu dilakukan terima kasih kepada kelengkapan seperti 12 penderia radar ultrabunyi, radar gelombang 5 mm, empat kamera keliling berdefinisi tinggi, kamera monokular, kamera perakam video pemanduan, serta kamera kabin.

 


Selain daripada itu, ia juga membolehkan Geely Xingyue untuk menawarkan pemanduan di lebuh raya secara berbantu (HWA Highway Assisted Driving) di mana SUV ini mampu memantau persekitaran, menukar laluan secara autonomi, bergerak pada jarak selamat daripada kenderaan yang lebih besar dan menukar laluan apabila diarahkan oleh pemandu dengan hanya menghidupkan lampu isyarat membelok.

Segala perisian (infotainmen, keselamatan, bantuan pemanduan autonomi dan sebagainya) yang dimuatkan boleh dinaiktaraf menerusi kemaskini over-the-air dari masa ke semasa.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…