Geely Xingyue L - crossover mewah daripada platform CMA Volvo

oleh Mohamad Hanif|
Geely telah memperkenalkan secara rasmi crossover baharu Xingyue L pada acara Shanghai Auto Show yang berlangsung pada ketika ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Crossover mewah ini dibangunkan menggunakan pelantar Compact Modular Architecture (CMA), platform yang sama digunakan oleh Volvo XC40 serta model-model Lynk & Co.

Namun jika dibandingkan dengan Volvo XC40 dengan jarak antara roda 2,702 mm, Geely Xingyue L memiliki jarak antara roda yang lebih panjang (2,845 mm).

 


Penampilan luaran Geely Xingyue L ini dimulakan dengan gril Expanding Cosmos yang diapit oleh dua buah lampu matrix LED, setiap satunya terdiri daripada 126 unit LED yang boleh dikawal kadar kecerahan, serta efek pencahayaan yang boleh diubah.

Rekaan sisi crossover ini menampilkan garis bahu yang menonjol, rekaan plastik cladding yang tidak keterlaluan, trim krom serta rekaan tingkap yang agak luas, sementara bahagian belakang pula menampilkan rekaan bampar berliang, serta unit lampu yang nipis.

Difahamkan, unit lampu belakang Geely Xingyue L ini menampilkan tetapan dot-matrix yang terdiri daripada 176 unit LED.

 


Dari segi kuasa, Geely Xingyue L mendapat enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan dua output berbeza, iaitu 215 kuasa kuda dengan daya kilas 325 Nm, serta 235 hp dengan daya kilas 380 Nm.

Kedua-dua versi didatangkan dengan pilihan transmisi automatik lapan kelajuan atau klac berkembar tujuh nisbah kelajuan, serta sistem pacuan semua roda.

Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa sekitar 7.7 saat sahaja.

 


Ruang kabin pula menampatkan skrin paparan kluster instrumen digital, serta skrin infotainmen super lebar beresolusi 1920x720 berdefinisi tinggi serta menggunakan sistem operasi GKUI generasi terkini.

Ia juga turut didatangkan dengan kemasan upholsteri dua tona, trim aksen suede, sistem audio Bose dengan 10 pembesar suara, sistem pencahayaan ambien 72 warna, tempat duduk dengan elemen klasik China, serta teknologi pengurangan bunyi dan penebat bunyi dwi-lapisan.

 


Xingyue L turut hadir dengan kelengkapan teknologi termaju, seperti 12 unit penderia ultrabunyi, radar bergelombang 5 mm, empat kamera keliling, kamera monokular, serta 24 unit penderia tambahan.

Menurut Geely, kesemua kelengkapan itu membolehkan Xingyue L mencapai sistem pemanduan semi-autonomi tahap kedua (Level 2) serta ciri parkir valet tanpa bantuan pemandu!

Ciri yang disebutkan itu tadi membolehkan crossover ini mencari sendiri kawasan parkir yang kosong dan Xingyue L boleh diseru kembali dengan syarat anda perlu berada pada jarak sekurang-kurangnya 200 meter dari kenderaan.

 


Xingyue L akan dilancarkan di pasaran China dalam masa beberapa minggu lagi, dan ia juga bakal dipasarkan di peringkat global.