Geely X Watch - jam tangan pintar untuk Geely Boyue PRO

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kebiasaannya, perkataan PRO digunakan oleh sesetengah pengeluar peranti pintar pada pelancaran model-model yang bertaraf mercu (flagship) seperti contoh Huawei P20 Pro. 

Sedikit aneh apabila pengeluar kereta sudah mula menggunakan frasa tersebut, seperti apa yang dilakukan oleh Geely untuk model SUV segmen C mereka, Geely Boyue PRO. 

SUV tersebut khabarnya akan menerima versi facelift tidak lama lagi, dan percaya atau tidak, frasa PRO itu sebenarnya memberikan gambaran bahawa Geely kini memfokuskan kepada gaya hidup terhubung pada kenderaan mereka. 

Ini boleh dilihat menerusi penawaran jam tangan pintar khusus, X Watch Limited Edition yang disertakan sekali bersama kemas kini versi facelift SUV Geely Boyue PRO. 

 


Dari segi penampilan, Geely X Watch mempunyai rupa yang hampir serupa dengan jam tangan pintar yang lain, seperti skrin sentuh 2.5D dengan saiz paparan 1.3 inci, dan ciri kalis air IP67.

Ia menawarkan fungsi yang hampir serupa seperti apa yang ada pada jam tangan pintar sekarang seperti ciri pemantauan kesihatan, hiburan, informasi media sosial dan sebagainya. 

Namun, ia boleh dihubungkan dengan sistem infotainmen GKUI 19 serta menawarkan fungsi tambahan seperti menyemak status kenderaan sama seperti apa yang ditawarkan pada aplikasi Proton Link untuk Proton X70.

Malah, pengguna juga boleh menghidupkan dan mematikan enjin, mengunci dan nyahkunci, serta fungsi-fungsi keselesaan seperti suhu kabin dan pemanas kerusi!

 


Geely Boyue PRO diberikan perubahan yang minima terutama di bahagian luar yang menerima rekaan lampu utama yang sedikit kecil dan gril yang membesar dimensinya. 

Kemasan 3D juga turut diberikan kepada lampu belakang dan tiada lagi penampakan logo syarikat tersebut, sebaliknya ia digantikan dengan ejaan Geely merentangi bahagian belakang. 

Memasuki ruang dalaman pula, rekaan papan pemuka juga turut diberikan perhatian dan nampak lebih moden dengan penggunaan skrin tengah yang lebih lebar, penggunaan warna dua tona, tombol gear baharu dan roda stereng bawah rata. 
 


Dari segi kuasa, unit enjin 1.8 liter turbo masih lagi dikekalkan khidmatnya namun ditambah penawaran dengan enjin 1.5 turbo tiga silinder sebaris yang dibangunkan bersama Volvo. 

Ia dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan dan klac berkembar tujuh nisbah kelajuan. 

Tidak dapat dipastikan sama ada X70 versi CKD akan turut menerima ciri yang dimaksudkan ataupun tidak, namun menurut sumber yang diperoleh sebelum ini, versi pemasangan tempatan akan menerima lebih banyak penambahbaikan ciri-ciri moden pada harga yang lebih kurang sama seperti sebelum ini. 

Tunggu dan lihat sahaja bagaimana Proton (dan Geely) mahu membentuk dan menawarkan SUV CKD ini untuk pasaran tempatan. 

 

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Casis jam tangan Bugatti Carbone Limited Edition ini sebenarnya diukir daripada seketul blok…
Berita Global
Menurut Porsche, jam tangan pintar ini diinspirasikan daripada model sedan elektrik Porsche Taycan…
Gaya Hidup
Sebagai makluman, GSW-H1000 merupakan jam tangan G-Shock pertama yang dilengkapi sistem operasi…