Geely Vision Starburst - petunjuk rekaan masa hadapan Geely

oleh Mohamad Hanif|
Geely memperlihatkan hala tuju baharu masa depan rekaan kenderaan mereka menerusi model konsep yang dinamakan sebagai Vision Starburst.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Masih lagi mengekalkan elemen angkasa lepas pada rekaan kenderaan mereka, Vision Starburst pula diinspirasikan daripada fenomena di mana nebula dan elemen hebat bersatu 'melahirkan' bintang baharu.

Dalam masa yang sama, falsafah rekaan Expanding Cosmos telah diolah semula menjadi satu ekspresi serba baharu dan ternyata ia merupakan satu anjakan besar di mana Vision Starburst ini menampilkan rekaan gril yang agak berani.

 


Ia membawakan corak rekaan parabola yang diapit dengan liang kemasukan udara bersegi, serta lampu nyalaan siang LED yang menegak seterusnya melintangi bahagian muka hadapan konsep ini.

Bahagian arca roda juga turut diberikan pendekatan baharu menerusi penampilan beriluminasi dengan efek pencahayaan yang berbeza, dan bertindak sebagai alat komunikasi yang menunjukkan cara kenderaan itu berfungsi.

Ini diperlihatkan menerusi penampilan warna yang berbeza ketika kenderaan itu diparkir pegun, atau ketika bateri sedang dicas atau ketika sedang bergerak.

 


Sementara bahagian belakang kereta ini menampilkan rekaan bersegi dimulakan dengan unit lampu berbentuk seakan boomerang dan dihubungkan dengan jalur LED yang melintangi bahagian tersebut serta terdapat lampu LED ketiga menegak.

Rekaan bampar belakang juga agak agresif dengan kehadiran diffuser.

 


Geely Vision Starburst menawarkan bukaan pintu dihedral yang mendedahkan rekaan futuristik ruang kabin.

Ruang dalaman tersebut dihiasi dengan pencahayaan 'Cosmic Ray' yang diintegrasikan secara terus pada paparan kluster digital yang datang dari masa hadapan, diikuti dengan rekaan roda sterereng serba baharu dan sistem infotainmen berbentuk tablet di bahagian tengah.

 


Elemen geometri diteruskan pada bahagian konsol tengah di mana tombol gear memiliki rekaan bersegi serta terdapat empat jalur LED yang menunjukkan posisi gear semasa PRND.

Menurut Geely, Vision Starburst akan kekal menjadi sebuah konsep, namun elemen rekaan yang dipamerkan itu bakal diterapkan pada model-model Geely akan datang, mungkin sekali termasuk Proton.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…