Geely sudah sedia pengganti Iriz/Persona - Geely Bin Rui

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setakat ini, Proton sudah pun mempunyai tiga model yang pasti ditukarkan lencananya daripada produk Geely, Proton X70, Proton X50 dan sebuah MPV yang diambil daripada Geely VF11. 

Namun, memandangkan Geely sebagai pemegang saham di dalam Proton sudah pasti mahu meluaskan pegangan mereka di dalam pasaran, dan salah sebuah produk yang terlintas difikiran sudah tentu model Iriz dan Persona. 

Proton Iriz mula menjengah pasaran sekitar 2014 manakala Persona pula membuat kemunculan dua tahun kemudian. 

Dari segi teknologi, jelas dan nyata apa yang ditawarkan oleh platform Iriz/Persona sudah terlalu tua, dan enjin CamPro S4PH dengan teknologi VVT tidak mampu untuk memenuhi peraturan emisi yang semakin ketat di luar negara. 
 


Dari barisan produk Geely, Bin Rui sudah pun membuat kemunculan rasmi di Chengdu Motor Show tahun lalu dengan tanda harga yang cukup menarik, 79,800 sehingga 110,800 yuan (RM48,000 - RM66,680).

Pesaing bagi model-model seperti Honda Civic, Mazda3 dan Toyota Corolla, Geely Bin Rui secara asasnya mempunyai dimensi 4,680mm panjang, 1,785mm lebar, dan 1,460 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,670mm.

Secara perbandingannya, Proton Preve mempunyai dimensi 4,534 mm panjang, 1,786 mm lebar, 1,524 mm tinggi dan jarak antara roda 2,650 mm.
 


Dua enjin turbo menjadi pilihan, iaitu 1.0 liter turbo DVVT berkuasa 134 hp (6,000 rpm), daya kilas 205 Nm yang digandingkan dengan transmisi klac berkembar dan kelajuan maksimum 200 km/j.

Manakala sebuah lagi enjin berkapasiti 1.4 liter turbo VVT menghasilkan 131 hp dan 215 Nm, transmisi CVT dan kelajuan maksimum 190 km/j.

Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada kadar 4.9 liter/100 km (1.0 liter turbo) dan 5.7 liter/100 km (1.4 liter turbo).
 


Geely Bin Rui dibangunkan berdasarkan platform B-segment Modular Architecture (BMA), di mana ciri modular tersedia membolehkan Geely (dan Proton) membangunkan sebuah model dengan jarak antara roda sependek 2,550 mm (Persona) sehinggalah panjang maksimum 2,700 mm (sama seperti Honda Civic). 

Ini bermakna platform ini sangat universal dan boleh digunakan untuk membangunkan produk-produk akan datang daripada Geely mahupun Proton.

Platform ini juga membolehkan Proton memuatkan pelbagai jenis trenkuasa tersedia daripada Geely seperti enjin turbo 1.0 liter dan 1.5 liter, serta trenkuasa hibrid seperti kereta elektrik hibrid (HEV), Plug-in Hybrid (PHEV) dan Mild Hybrid Electric Vehicle (MHEV). 

Malah, platform BMA mampu untuk memuatkan pelbagai teknologi pemanduan terkini termasuklah ciri swapandu Tahap Kedua dan Tahap Ketiga (SAE Level 2 & Level 3).
 


Namun menurut satu sumber dalaman, model ini bukanlah pengganti sebenar bagi Preve. 

Sebaliknya ia bakal menggantikan Proton Iriz/Persona!

Adakah ini bermakna Iriz dan Persona bakal naik satu segmen ke atas bagi memberikan saingan kepada Toyota Corolla dan Mazda3?

Geely setakat ini hanya mempunyai sebuah produk di dalam segmen B iaitu SUV Binyue (SX11) dan tiada produk seumpama Iriz/Persona, jadi Bin Rui merupakan salah satu produk yang boleh dijadikan sebagai pengganti. 

Apatah lagi dengan tanda harga yang sangat menarik, ia bakal bikin kacau di dalam segmen C yang kini dikuasai oleh Honda Civic. 

Baca: Proton Persona 2019

Baca: Proton Iriz 2019