"Seperti membeli kereta tetapi kembali (menggunakan) kuda, sudah tentu tidak selesa. Saya dengan selesa memandu sejauh 3,000 kilometer di jalan raya, dan bil elektrik sebanyak 415 yuan (kira-kira RM255). Sekiranya menggunakan kereta berkuasa petrol, kosnya membabitkan sekurang-kurangnya 1,500 yuan," katanya.
"Harga petrol di sini (China) sekali ganda lebih mahal daripada harga di Malaysia, menjadikannya sangat mahal untuk digunakan di sini," katanya kepada pemberita Malaysia di China, baru-baru ini.
Lawatan delegasi media ke ibu pejabat Geely itu adalah sebahagian daripada Program Lawatan Media Malaysia ke China, anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) untuk menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Sutcliffe berkata EV menyumbang 53 peratus kepada jualan kereta bulanan China dalam beberapa bulan kebelakangan ini, bersamaan dengan kira-kira dua juta unit setiap bulan -- menunjukkan penerimaan yang meluas dan peningkatan permintaan.
Beliau berkata lonjakan itu didorong oleh infrastruktur pengecasan yang meluas dan harga yang berpatutan.
Pada peringkat awal, model EV berharga 500,000 hingga 600,000 yuan namun, kini ditawarkan pada harga serendah 30,000 yuan, menjadikan EV boleh diakses oleh pasaran yang lebih luas dan meningkatkan popularitinya.
"Jadi, apabila anda mempunyai kapasiti untuk berkembang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, harga akan susut namun penggunaan akan meningkat," katanya.
Beliau berkata pada masa ini, pasaran EV Malaysia masih di peringkat awal namun mempunyai potensi cerah.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia menyasarkan EV membentuk 80 peratus daripada jumlah industri negara pada 2040, dengan rancangan untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecasan pada 2025 dan meningkatkan bilangan EV kepada 500,000 menjelang 2030.
Sutcliffe berkata sumber tenaga boleh baharu di Malaysia seperti solar, angin dan hidro akan memudahkan pembangunan infrastruktur EV.
"Saya percaya Malaysia akan menjadi peneraju tenaga baharu pada masa hadapan," katanya, merujuk kepada potensi tenaga boleh baharu Malaysia.
Beliau juga berkata inisiatif kerajaan dalam memulakan pembangunan infrastruktur adalah penting.
"Apabila kerajaan memberikan dorongan pertama, pembangunan itu akan terus bergerak," katanya.