Geely lancar Cao Cao 60 - sedan EV untuk e-hailing, jarak gerak 415 km, ciri penukaran bateri dalam 60 saat

oleh Mohamad Hanif|
Pada minggu lalu, Careta telah melaporkan kewujudan sebuah jenama automotif baharu di bawah naungan Geely yang dinamakan sebagai Cao Cao Automobile.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tidak seperti jenama lain yang dimiliki oleh Geely, Cao Cao Auto dikhususkan untuk perkhidmatan seru-pandu (e-hailing) dan kini mereka baharu sahaja memperlihatkan sebuah kereta baharu, Cao Cao 60.
 

Cao Cao


Cao Cao 60 merupakan sebuah sedan berkuasa elektrik yang dihasilkan oleh Maple (sebuah lagi jenama di bawah naungan Geely) dengan jarak gerak yang mampu mencecah 415 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

Cao Cao Auto mendakwa model 60 ini dihasilkan khusus untuk perkhidmatan seru-pandu dengan ruang kargo sebesar 500 liter dan mempunyai ketahanan servis sehingga 600,000 km.
 

Cao Cao


Bahagian dalam ruang kabin pula menampilkan susun atur papan pemuka yang ringkas, di mana terdapat skrin kluster digital yang amat kecil di depan pemandu, dan skrin infohibur di bahagian tengah.

Sementara bahagian belakang turut dipasangkan dengan sebuah lagi skrin LCD.
 

Cao Cao


Untuk memudahkan urusan, Cao Cao 60 ini turut dilengkapi dengan teknologi penukaran bateri (battery swap) yang dikatakan mengambil masa sekitar 60 saat sahaja.

Sebagai perbandingan, stesen penukaran bateri generasi ketiga Nio memerlukan masa sekitar tiga minit untuk melakukan proses yang sama.
 

Cao Cao


Dalam acara pelancaran yang sama, Cao Cao Auto turut memperlihatkan sebuah model konsep kereta e-hailing swapandu yang dibina berdasarkan model 60 tadi.

Tiada sebarang maklumat didedahkan, akan tetapi jelas kelihatan pada bahagian bumbung terdapat pemasangan gugusan penderia yang diperlukan untuk pemanduan autonomi.

Di pasaran China, harga jualan Cao Cao 60 ini bermula dari 119,800 yuan (RM76,994).

Sumber: CarNewsChina

Berita Berkenaan

Berita Global
Terbaharu, Geely mengumumkan mereka akan hadir dengan sebuah lagi jenama baharu iaitu Cao Cao…