Geely KX11 - platform CMA, lebih sesuai jadi Proton X90?

oleh Mohamad Hanif|
Tidak cukup dengan penawaran crossover sedia ada, Geely kini memperkenalkan sebuah lagi crossover baharu yang dibangunkan atas platform CMA (Compact Modular Architecture) dengan kod nama KX11.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak seperti sebuah lagi crossover tiga baris tempat duduk Geely Haoyue (Geely Okavango di Filipina) yang dibangunkan berdasarkan MPV Jiaji dengan sistem suspensi torsion beam, Geely KX11 ini mendapat sistem suspensi bebas di bahagian belakang.

Berdasarkan gambar rasmi yang diterbitkan, Geely KX11 ini menampilkan rekaan yang lebih berpetak, dimulakan dengan jeriji hadapan yang lebih menonjol, diikuti dengan lampu utama yang menampilkan integrasi lampu nyalaan siang LED serta lampu membelok.

 


Di bahagian sisi pula menampilkan garis bahu yang jelas menghubungkan antara lampu depan dan lampu belakang, pemasangan cladding plastik pada arca roda, serta garis bumbung yang sedikit melandai ke belakang.

Rekaan di bahagian belakang pula menampilkan bampar yang agresif dengan trim krom, lampu belakang yang nipis, serta spoiler liftgate.

Platform CMA yang digunakan pada Geely KX11 ini turut digunakan pada model-model lain seperti Polestar 2, Volvo XC40 serta pelbagai jenis model yang hadir daripada jenama Lynk & Co.

 


Model Geely KX11 ini dijadualkan memasuki fasa produksi menjelang suku ketiga tahun ini dan menampilkan trenkuasa empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang menghasilkan 235 hp dan 350 Nm.

Terdapat juga varian plug-in hybrid (PHEV) dengan gandingan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo dan motor elektrik, di mana ia mampu menjana kuasa setinggi 255 hp dan daya kilas 415 Nm.

Perincian lanjut bakal didedahkan menjelang acara Shanghai Auto Show April nanti.