Geely ICON dilancarkan, dapat 30,000 tempahan dalam talian!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah hampir setahun imej rasmi Geely ICON didedahkan, pengeluar tersebut akhirnya melancarkan secara rasmi SUV tersebut secara dalam talian sepenuhnya memandangkan China masih lagi dikuasai oleh virus Covid-19.

Dan menerusi tempahan yang dibuka beberapa jam sebelum pelancaran rasmi, Geely berjaya mendapatkan kira-kira 30,000 tempahan. 

Geely ICON kekal dengan penampilan yang diperlihatkan oleh model konsep ICON dengan konsep "less is better" dan membawakan rekaan analog 8-bit. 
 


Berdasarkan pengamatan, Geely SX12 ini tidak begitu lari jauh daripada rekaan Geely Concept Icon, seperti rekaan badan berkotak, gril hadapan yang tirus serta penampilan gelung infiniti pada lampu hadapan dan belakang. 

Rekaan unik ini mampu meningkatkan keberkesanan pencahayaan sebanyak 30 peratus dan tahap penglihatan sehingga 165 meter. 
 


Geely mengekalkan imej minimalis ICON dengan menggunakan pemegang pintu tertanam, dan hanya akan muncul apabila pemilik menghampiri kenderaan. 

Di ruang dalaman pula, rekaan minimalistik analog diteruskan bagi membawakan perasaan fiksyen sains masa hadapan, manakala simbol masa pula divisualkan pada konsol tengah dan juga corong udara. 

Skrin sentuh bersaiz 10.25 inci diposisikan baik di atas corong pendingin hawa dan dikuasakan oleh GKUI Geely Smart Ecosystem. 
 


Pertama di dalam segmennya, Geely Icon didatangkan dengan sistem teknologi mild-hybrid berkuasa 48V yang mampu memberikan pulangan bacaan bahan api serendah 5.7 liter untuk setiap 100 km.

Enjin 1.5 liter turbo mampu menawarkan kuasa sehingga 174 kuasa kuda dan 255 Nm ditambah pula dengan bantuan sistem 48V yang menghasilkan kuasa ekstra 13 hp dan 45 Nm. 

Sistem transmisi pula adalah daripada DCT tujuh nisbah kelajuan, dan pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.9 saat sahaja.
 


Dari segi pemanduan, Geely ICON hadir dengan teknologi bantuan sehingga Tahap Kedua (LEVEL 2+) yang merangkumi 12 unit radar ultrasonik, radar gelombang serta lima kamera berdefinisi tinggi yang membantu ciri-ciri berikut:

  • Kawalan Pelayaran Pintar (ICC)
  • Bantuan Kekal Laluan (LKA)
  • Brek kecemasan Automatik dengan pengesanan pejalan kaki (AEB-P)
  • Parkir Automatik Satu Butang (APA)

Memandangkan China masih lagi terkesan dengan epidemik coronavirus, Geely Auto telah membangunkan sistem pembersihan udara pintar (IAPS) yang mematuhi piawaian N95 dan mampu membunuh elemen yang membahayakan di dalam kabin termasuklah bakteria dan virus. 
 

Add new comment