Dalam ujian yang diselia secara rasmi oleh Guinness World Records, sedan PHEV itu berjaya mencatat jarak sejauh 2,608.360 kilometer, sekali gus memecahkan rekod terdahulu.
Rekod baharu itu mengatasi pencapaian Chery Fulwin A8L, yang sebelum ini memegang rekod dengan jarak 2,369.950 kilometer.
Cabaran tersebut berlangsung selama lima hari berturut-turut, melibatkan perjalanan merentasi empat wilayah di China iaitu Yunnan, Guizhou, Guangxi dan Guangdong.
Sepanjang perjalanan, Galaxy A7 EM berdepan pelbagai keadaan jalan yang mencabar termasuk laluan berbukit, terowong panjang, kesesakan lalu lintas serta pendakian berterusan.
Menariknya, keseluruhan perjalanan berjaya diselesaikan tanpa sebarang pengisian semula bahan api mahupun pengecasan bateri.
Kejayaan tersebut disumbangkan oleh penggunaan sistem hibrid terbaharu Thor AI Hybrid EM 2.0, yang menggabungkan enjin 1.5 liter empat silinder NA bersama teknologi kecerdasan buatan (AI).
Enjin tersebut berjaya mencatat kecekapan terma melebihi 47.26 peratus, antara yang tertinggi dalam industri automotif ketika ini.
Sistem itu turut dipadankan dengan unit pacuan elektrik 11-dalam-1, yang menggabungkan transmisi DHT satu kelajuan bersama motor elektrik berkuasa 175 kW (235 hp) bagi memberikan kecekapan maksimum.
Galaxy A7 EM menggunakan bateri Aegis Golden Brick, yang membolehkan jarak gerak sejauh 235 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya mengikut piawaian CLTC.
Ketika cubaan memecahkan rekod dunia itu, sistem pengurusan tenaga berasaskan AI sentiasa mengimbangi penggunaan petrol dan tenaga elektrik secara automatik bagi memastikan penggunaan bahan api kekal rendah.
Malah, selepas bateri hampir habis sekalipun, penggunaan bahan api masih mampu dikekalkan sekitar 2 liter bagi setiap 100 kilometer, sekali gus membuktikan kecekapan sistem hibrid baharu Geely.
Geely Galaxy A7 EM mula diperkenalkan di China pada 22 April 2026 dengan harga permulaan 119,800 yuan (sekitar RM78,000).
Model itu menjadi antara produk terawal menggunakan sistem Thor AI Hybrid 2.0, yang sebelum ini diumumkan oleh Geely pada tahun lalu sebagai generasi baharu teknologi plug-in hybrid syarikat itu.
Jenama Geely Galaxy juga kini merupakan subjenama kenderaan tenaga baharu (NEV) paling laris di bawah Geely.
Sepanjang Jun 2026, Geely Galaxy merekodkan jualan global sebanyak 108,206 unit, meningkat 19.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan 32.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Sumber: Car News China