Geely Emgrand GSe muncul di Shah Alam, bakal jadi EV pertama Proton?

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari yang lalu, rakan media Wapcar telah mengesan kelibat sebuah kenderaan elektrik berlencanakan Geely, iaitu Emgrand GSe di Shah Alam.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kehadiran model EV tersebut di tanah air menimbulkan spekulasi sama ada Proton mungkin akan menggunakan model tersebut sebagai asas kepada penawaran EV pertama mereka yang dijangka pada tahun 2027 itu.

Sebagai info, Geely Emgrand GSe merupakan varian elektrik kepada model berenjin pembakaran dalaman Geely Emgrand GS yang muncul pada tahun 2018.

Namun, EV tersebut hanya sempat bertahan kurang daripada tiga tahun sebelum Geely membuat keputusan untuk menghentikan penawarannya pada April 2021.
 

GSe


Sepanjang tempoh jualan, Geely Emgrand GSe mencatatkan angka purata sebanyak 1,000 unit sebulan sebelum angka tersebut menurun kepada sekitar 500 unit sebulan, dan dengan rekod jualan di bawah paras 1,000 unit di pasaran China yang mempunyai populasi lebih 1.4 bilion orang, ia merupakan satu petanda yang buruk.

Antara sebab kenapa GSe kurang popular di China adalah kerana pembeli tidak mahu EV yang lahir dari platform model ICE.

Ini kerana sesebuah EV dari platform ICE cenderung untuk hilang beberapa ciri dan karakteristik seperti contoh ruang penumpang belakang dan kargo yang semakin kecil disebabkan pemasangan pek bateri, selain jarak kelegaan tanah yang semakin rendah.  

Selain itu, ia juga bukanlah EV dengan paras rupa yang menarik di dalam lautan model-model EV yang ada di China.

Angka prestasi juga tidak begitu impresif, di mana dari kilang Geely memasang motor elektrik tunggal yang mampu menjana 163 PS dan 250 Nm, dengan pek bateri 53 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 353 km sahaja.
 

Geely


Jadi adakah ini satu model yang sesuai digunakan oleh Proton untuk menguji tahap penerimaan model pertama kenderaan elektrik jenama itu di sini?

Mungkin tidak. Ini kerana Geely pada ketika ini sudah pun mempunyai platform modular SEA (Sustainable Experience Architecture) yang jauh lebih moden dan boleh dikongsi oleh kesemua sembilan jenama automotif di bawah naungannya, termasuk Proton.

Menurut Geely, platform modular ini mampu menjadi asas kepada kenderaan dari segmen A sehingga segmen D/E, selain menyokong sistem pacuan roda depan, roda belakang atau semua roda, dan mampu menawarkan jarak pemanduan melebihi 700 km.
 

Zeekr


Platform SEA telah pun melahirkan beberapa buah model EV, seperti contoh Zeekr 001 dan juga smart #1 yang bakal dibawa masuk dan diedarkan sendiri oleh Proton Edar kelak.

Baca: Zeekr 01 - Shooting Brake EV

Baca: smart #1

Sumber: Wapcar