Geely Boyue/Proton X70 - harga dan efeknya kepada Asia Tenggara

oleh HEZERI SAMSURI|
Syarikat dari China sudah lama mahu mencari pasaran yang lebih modern dari pasaran-pasaran Eropah Timur mereka yang sedikit konservatif dan tidak begitu membantu pembinaan jenama mereka.

Asia Tenggara ialah satu pasaran yang membangun dan dengan wujudnya dua negara modern di rantau itu, Singapura dan Malaysia, ia dilihat sebagai pasaran interim sebelum apa-apa produk boleh melangkau ke negara-negara kulit putih.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malaysia contohnya sudah mempunyai spesifikasi dan standard homologasi yang paling ketat dan paling menyeluruh di Asia Tenggara. Hasil usaha dari agensi berkaitan seperti JPJ dan MAI melihat kenderaan-kenderaan yang dijual di dalam Malaysia perlu mematuhi standard kualiti yang sama dengan Eropah.

Oleh kerana itu, jika sebuah jenama China boleh berjaya di Malaysia, ia akan mempunyai peluang yang lebih cerah di Thailand dan Indonesia - dua pasaran terbesar di sini.

Selama ini, pengguna Malaysia hanya dimomok oleh produk-produk lapuk dan kurang berkualiti dari China, terutama kenderaan-kenderaan komersil jenama China yang nampak terlalu buruk dan meloyakan.

 

 

Kurang pasti adakah homologasi kenderaan komersil di Malaysia masih di paras lama atau sudah ditingkatkan kerana dari segi logik, tidak ada bezanya jika seorang manusia dilanggar oleh kenderaan penumpang atau kenderaan komersil, cuma kenderaan komersil kurang glamour untuk diketengahkan oleh agensi kerajaan.

Haval dan Maxus LDV lebih berani. Ia membawa masuk sesuatu yang lebih berkualiti dan lebih modern dan nampaknya sudah selesa di sini. Sayang sekali wakil Haval di sini tidak mempunyai dana untuk membesarkan lagi syarikat itu. Bogward juga nampaknya gah semasa pengumuman ia akan hadir di Malaysia tetapi sampai sekarang kami masih menunggu-nunggu di mana kenderaannya. 

Geely memang tidak takut untuk berbelanja besar. Ia membeli pelbagai syarikat luar sebelum ini, dan yang terbesar serta termahal ialah Volvo. Itu benar-benar membuka mata dunia kepada syarikat China tersebut.

Pembelian Proton dianggap remeh kepada mereka, malah jumlahnya segan untuk diberitakan kepada media tempatan di sana kerana terlalu kecil.

 

 

Dengan menggunakan nama Proton, Geely secara automatik mendapat pelbagai faedah dan keistimewaan di dalam pasaran negara. Sebelum ini, Geely telah membuktikan ia akan membuat pelaburan besar di dalam negara dan juga menjanjikan pindahan teknologi kepada negara. Sekarang, Geely mahukan insentif yang besar agar ia boleh mula menjual produk mereka dengan harga yang lebih menarik.

Insentif sebenarnya diberikan kepada mana-mana syarikat yang membuat pelaburan di dalam negara. Ia sebenarnya tidak perlukan jenama Proton di dalam proses ini pun kerana Honda, Toyota, Nissan, Mazda, Volvo, BMW, Mercedes-Benz dan lain-lain juga mendapat insentif yang menarik hasil usaha mereka memasang kenderaan di dalam negara dan menggunakan vendor-vendor tempatan.

Insentif membantu untuk merendahkan kos mereka, dan membolehkan harga kenderaan menjadi lebih mampu milik dan pihak syarikat tetap mendapat kadar keuntungan yang sama (atau lebih besar). Untuk Malaysia pula, mungkin kerajaan boleh tukar sedikit insentif ini dengan memberi peluang kepada kita masuk ke pasaran China.

Jangan asyik-asyik kita yang membuka semua peluang berniaga kepada orang luar sahaja sedangkan pasaran mereka sukar ditembusi.

 

 

Namun Geely sedar, insentif sahaja tidak mencukupi. Jenama dari China mempunyai isu imej - dan imej jenama dari China sebenarnya jauh lebih teruk dari Proton.

Dengan menggunakan nama Proton X70, seluruh negara terkinja-kinja menantikan "kelahiran" SUV pertama negara, walaupun 10,000 unit pertama (atau lebih) akan diimport masuk terus dari China dengan pakej insentif yang sangat menarik (sama seperti Perodua Nautica dahulu, dalam 400 unit diimport masuk dari Jepun sebelum sebuah syarikat nasional yang lain "bising" kerana berkata jenama nasional tidak boleh mengimport masuk kenderaan. Ehemm ...).

 

haval H6

 

Geely saya kira bakal berjaya dengan menggunakan Proton sebagai platform mereka di Asia Tenggara. Cuma yang saya risau, kejayaan Geely akan membuka mata syarikat China yang lain dan mereka akan datang membawa model-model mereka yang juga modern dan berkualiti.

Bila itu berlaku, Geely mungkin akan bertemu buku dengan ruas di Asia Tenggara. Harga yang murah tidak menjanjikan penjualan yang baik dan syarikat-syarikat Jepun masih mempunyai pengalaman yang lebih luas serta kebolehan menghasilkan teknologi mereka sendiri.

Syarikat Jepun juga sudah lama mempunyai pengalaman membuat operasi CKD di sini. Geely tidak, dan sekarang pun sudah mula mahu menonjolkan diri mereka sendiri (sindrom negara membangun - perlu tunjuk siapa tuan). Tidak seperti Perodua di mana kita lihat rakyat tempatan masih menjadi ketua. Di Proton sekarang, anda boleh lihat sendiri siapa yang di depan dan siapa menjadi pengedar-pengedar baharu mereka. 

 

X70 rear

 

Jadi berbalik kepada isu asal, berapakah harga Boyue X70 itu? 

Dengarnya, pemegang saham besar Proton sendiri masih tidak diberitahu harga yang diunjurkan dan juga bila ia boleh dilancarkan.

Namun pada pendapat saya, Geely akan menggunakan strategi "Segmen C pada harga segmen B" untuk SUV baharu ini nanti.

SUV segmen B yang popular sekarang ialah Honda HR-V dan Toyota Rush. Boyue X70 itu ialah sebuah SUV segmen C - lebih luas, lebih besar dan lebih bertenaga. 

Saya kira harga yang patut untuk Proton X70 ialah di antara RM95,000 sehingga RM125,000. Lebih dari itu, adalah lebih afdal untuk membeli produk Jepun dengan teknologi yang jauh lebih baik dan sudah terbukti.

Jika harganya terlalu murah pula, jenama Proton akan terus lekat di takuk lama. Ini ialah peluang untuk Proton meningkatkan taraf jenamanya kerana kali ini ia mempunyai produk yang jauh lebih baik.

 

 

Ini bukan seperti Proton Suprima-S, yang hanya sedap dibawa laju tetapi sedikit kasar dalam pemanduan harian. Ini juga bukan seperti Proton Perdana yang menggunakan teknologi lampau dan dijual hampir dengan harga Honda Civic generasi terkini (entah siapalah yang membuat percaturan bijak ini kan?). 

Proton X70 ialah sebuah SUV segmen C yang mempunyai rupabentuk yang sesuai untuk pasaran semasa, memiliki mainan-mainan elektronik yang akan membuat rakyat Malaysia teruja dan harga yang berada di paras mampu oleh kebanyakan pembeli di sini.

Paling penting, walaupun ia bukan baharu di China, ia baharu di Malaysia. 

Saya sangat yakin ia akan menjadi sebuah projek yang menguntungkan untuk Geely. Yang saya tak pasti ialah mutu perkhidmatan selepas jualan Proton. Marilah kita berharap sekali lagi kualiti "aftersales" mereka akan diperbaiki.

Cuba lihat Perodua. Tak perlu bising banyak - pusat jualan dipenuhi dengan eksekutif jualan profesional dan pusat servis juga diketahui yang kedua terbaik selepas Toyota. 

Masih nak cakap orang kita tidak boleh? 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke…
Berita Domestik
"Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah volum industri (TIV) bagi pasaran automotif…
Berita Domestik
PROTON telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan…