Geely Boyue X dilancarkan dengan rupa paras yang lebih agresif

oleh Mohamad Hanif|
Tatkala Proton X70 di Malaysia masih lagi memakai wajah front fascia yang lama, SUV yang asal Geely Boyue telah pun lama tampil dengan wajah baharu (Boyue Pro), dan ia diperkemaskan lagi dengan pengenalan model yang dinamakan sebagai Geely Boyue X.

Diperkenalkan secara rasmi pada acara Chengdu Auto Show, ia dibangunkan berdasarkan Boyue Pro dengan rupa paras hadapan yang lebih agresif, serta bahasa rekaan Vision Starburst.

Ia boleh dilihat menerusi muka hadapan yang direka semula menampilkan rekaan gril dan bampar hadapan - sekali imbas seakan merujuk kepada rekaan Dynamic Shield oleh Mitsubishi dan juga Spindle Grille milik Lexus.
 

X


Selain daripada itu, keempat-empat arka roda dipasangkan rim bersaiz 19 inci, serta penampilan warna aksen jingga pada liang udara hadapan, skirt sisi serta angkup brek.

Rekaan belakang SUV ini nampaknya masih lagi sama seperti kemaskini yang terdahulu, melainkan spoiler dan antena sirip jerung yang diwarnakan hitam.
 

Z


Ruang kabin Boyue X ini juga tidak menampilkan perubahan yang besar, melainkan penggunaan upholsteri kulit berliang dua tona biru Beluga dan putih pada tempat duduk.

Dari segi kuasa, Boyue X masih lagi mengekalkan enjin 1.8 liter turbo yang berupaya menghasilkan 184 PS dan 300 Nm, atau enjin 1.5 liter (inline-3) yang mampu menghasilkan 175 hp dan 255 Nm, serta padanan transmisi klac berkembar atau transmisi automatik enam kelajuan untuk enjin bersesaran yang lebih kecil.