Geely Binyue - teknologi Volvo dengan harga dari RM47k!

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Geely memang kini dengan terang-terang menggunakan teknologi dari Volvo untuk produk-produk mampu milik mereka.

Ini berbeza dari Tata yang tidak mengumumkan produk domestik mereka akan menggunakan teknologi Land Rover atau Jaguar walaupun syarikat India itu menjadi pemilik kedua-dua jenama premium British tersebut.

Mungkin ada logiknya kerana hanya segelintir sahaja yang akan membayar lencana Volvo untuk teknologi sama pada Geely, dan lebih ramai yang mampu membeli Geely dari Volvo.

Bukti terbaharu ialah apa yang ada pada SUV segmen-B terkini Geely, Binyue.

 

 

Walaupun namanya hanya mampu dicintai oleh penciptanya, Binyue ini sebenarnya menarik dari segi teknologi dan juga pakej yang disertakan.

Crossover Binyue dibina di atas platform modular yang dihasilkan bersama jurutera-jurutera Volvo dan mungkin kerana itu ia mempunyai banyak ciri-ciri sama seperti platform Compact Modular Architecture (CMA) dari Volvo.

Enjin juga dibangunkan bersama Volvo, dan walaupun ia hanya berkapasiti 1.5 liter, enjin 4-silinder turbo itu mampu menghasilkan 174 hp (seperti enjin 2.5L tanpa turbo) dengan daya kilas 255 Nm. 

Transmisi untuk enjin 1.5L turbo itu ialah unit gear klac berkembar 7-kelajuan automatik. Menarik kerana pastinya ia akan memberikan prestasi sehebat transmisi DSG pada Volkswagen Golf GTI yang juga menggunakan teknologi klac berkembar.

 

 

Enjin kecil 1.0L turbo pula memberikan pemandunya 135 hp dan 205 Nm untuk digunakan. Transmisi untuk enjin cili padi ini pula ialah manual dengan 6-kelajuan.

Untuk memastikan ia saetaraf dengan kenderaan Eropah, teknologi pemanduan autonomi tahap kedua dipasang sekali pada Binyue.

Ini bermakna Binturung seksi ini boleh mengikut aliran trafik di hadapan semasa fungsi cruise control digunakan (sehingga kelajuan 150 kmsj).

Tak cukup? Cruise control bijak itu juga boleh menukarkan lorong dengan sendiri!

 

 

Kelengkapan canggih lain yang diberikan pada SUV kompak ini termasuk sistem parking automatik, brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan eletronik, pengesan titik buta atau Blind Spot, unit pemantauan tekanan udara dan suhu tayar, kamera HD 360-darjah dan banyak lagi.

Seperti Proton X70 yang akan dilancarkan minggu hadapan, pemandu boleh berinteraksi dengan Binyue ini. Malah mereka juga masih mampu memberikan arahan kepada Binyue secara jarak jauh dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.

Dari segi rekabentuk luar dan dalam, biarkan gambar-gambar sahaja berbicara.

 

 

Geely Binyue dijual bermula dari harga serendah RM47,000 sehingga RM72,000 di China. 

Dengan menggunakan insentif-insentif cukai dan duti yang diterima oleh Proton serta projek CKD yang bakal menggunakan banyak komponen tempatan, pastinya harga ini boleh dijadikan realiti di Malaysia.

Jangan ketawa - Perodua sudah buktikan ia boleh menggunakan lebih dari 90 peratus komponen tempatan dan kerana itu Axia menjadi kereta paling murah di Asean.

Oleh kerana itu, pastinya Geely dan Proton boleh! 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…