Gazoo Racing Australia baik pulih satu-satunya unit Toyota 2000GT tersadai selama 40 tahun

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada menyemarakkan lagi semangat cintakan kelajuan di kalangan anak muda menerusi pengenalan model-model GR (Yaris, Supra, dan akan datang Corolla & 86), Gazoo Racing juga tidak pernah sekali-kali melupakan warisan yang telah ditinggalkan oleh generasi terdahulu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Di Australia, Toyota Gazoo Racing telah membuat inisiatif dengan menjalankan proses restorasi terhadap satu-satunya unit 2000GT yang ada di negara kanggaru tersebut.

Menyedihkan apabila Toyota 2000GT tersebut telah pun tersadai di dalam garaj selama 40 tahun sebelum ia ditemukan semula oleh Phil McCarroll, seorang pengedar yang menjual jentera Ferrari, Maserati dan Lexus.

 


Menurut Trade Unique Cars, Toyota 2000GT tersebut sebelum ini telah menjalani proses modifikasi dengan menggantikan enjin asal Yamaha kepada nadi V8 sebanyak dua kali, satu dari Leyland diikuti oleh enjin V8 Rover.

Enjin V8 Rover itu yang kini menduduki perut 2000GT itu dipadankan dengan transmisi dari Leyland, serta modifikasi terhadap bahagian belakang daripada Jaguar Type-E.

Namun, itu semua tidak menghalang pihak Gazoo Racing daripada terus menjalankan proses restorasi, dimana panel badan telah pun dibuka daripada casis untuk proses pembaikan dan rawatan karat.

Nasib menyebelahi mereka apabila projek ini turut mendapat sokongan daripada Maine Line Exotics, pakar restorasi 2000GT dari Amerika Syarikat.

 


Menurut McCarroll lagi, untuk pasaran Australia sebanyak sembilan unit Toyota 2000GT telah dibawa masuk namun sebahagian besar daripadanya telah pun dibeli oleh peminat dari luar negara.

Ini menjadikan unit 2000GT yang dipaparkan ini sebagai satu-satunya unit 2000GT yang masih lagi kekal setia di bumi Australia.

Untuk mengikuti perjalanan Toyota Gazoo Racing dalam merestorasi semula 2000GT ini, anda boleh terus melayari Facebook Toyota Gazoo Racing Australia.

 

Sumber: Japanese Nostalgic Car

Berita Berkenaan

Berita Global
Mungkin tidak ramai yang tahu, Toyota juga sebelum ini pernah menawarkan sedan pantas Mark X GRMN,…
Berita Global
  GR Circuit Edition kembali ditawarkan setahun lagi dan dalam warna Blue Flame selain Ice Cap…
Berita Global
Seperti contoh, bekas presiden Gazoo Racing Koji Sato yang juga pemilik sebuah AE86 mempunyai…