Gara-gara 'power bank', kereta hangus!

oleh SALINA JALIL|
Seorang pelajar Universiti Awam mengalami kerugian ribuan ringgit apabila kereta Perodua Kancil miliknya musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada ‘power bank’ yang ditinggalkan di dalam kereta di Taman Bersatu di sini, semalam (Ahad).


Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian yang berlaku kira-kira 1.40 tengah hari berpunca daripada kereta yang diletakkan di luar rumah sewa pemiliknya.

 

“Pemilik melihat kereta terbabit mula mengeluarkan asap dari dalam dan mendapati ‘power bank’ yang ditinggalkan di dalam kereta itu terbakar.

 

“Dia cuba memadamkan kebakaran namun tidak berjaya sehinggalah rakan-rakannya menghubungi pihak bomba bagi mengawal kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini.

 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) kecemasan pada jam 1.59 tengah hari dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

 

“Seramai tujuh anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Rosnani Abu Seman dengan satu jentera pemadam kebakaran dikerahkan ke lokasi kejadian.

 

“Api berjaya dikawal pada jam 2.35 petang dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.

 

 

 

Sumber: Berita Harian

Add new comment