Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan MH2 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 20 Mac jam 11.37 malam terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam, Belanda.
“Pesawat yang membawa 246 penumpang dan 17 anak kapal itu selamat mendarat di Amsterdam pada 6.19 pagi waktu tempatan. Penumpang telah ditempatkan di hotel berhampiran dan sebahagiannya dipindahkan ke penerbangan lain,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, penerbangan MH4 pada 21 Mac yang membawa 187 penumpang dan 17 anak kapal terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba pada 3.30 petang waktu tempatan.
Penerbangan MH1 dan MH3 dari London ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada Jumaat turut terjejas akibat gangguan tersebut.
“Malaysia Airlines amat kesal atas kesulitan yang dialami penumpang akibat gangguan ini. Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan utama kami,” kata syarikat penerbangan itu.
Difahamkan, Lapangan Terbang Heathrow dijangka kekal ditutup sehingga tengah malam pada Jumaat bagi membolehkan pemulihan bekalan elektrik dilakukan.