Imej misteri yang dimuatnaik oleh laman Instagram dc7_integra itu mendakwa ia merupakan sebuah model generasi baharu Honda Integra, coupe dua pintu yang telah pun dihentikan penawarannya pada tahun 2006 akibat pasaran yang semakin mengecil.
Menurut laman web Motor1, wakil Acura Chris Naughton memberitahu model intipan itu sebenarnya merupakan hasil kerja pakar photoshop, dan bukannya sebuah model prototaip Honda mahupun Acura.
Namun begitu, ia tidak menghalang seorang artis digital @jrubinsteintowler untuk memperlihatkan imaginasi beliau terhadap Integra Type R berdasarkan imej intipan yang diperoleh awal tahun lalu.

Integra Type R moden ini tidak menggunakan rekaan-rekaan model baharu Honda, sebaliknya ia mengingatkan kita kembali kepada rekaan Integra terdahulu (generasi DC2), dimulakan dengan lampu LED depan dan belakang.
Ia juga mengekalkan silhouette badan coupe dan diikuti dengan pemasangan spoiler belakang bagi menandakan model ini sebagai sebuah model pantas.

Sementara ruang kabin pula menampilkan warna kombinasi tradisi Type R (hitam-merah), serta tombol gear manual sementara paparan instrumentasi digital pula tampil ringkas di sebalik roda stereng.
Jadi, adakah benar Honda (atau Acura) mahu membawakan kembali nama Integra setelah beberapa tahun dibenamkan ke dasar tanah akibat jualan yang tidak memberangsangkan?

Mungkin sekali tidak, memandangkan dalam satu perjumpaan di kalangan para pengedar yang dianjurkan beberapa bulan lalu, nama Integra tidak sekali-kali disentuh melainkan model-model sedan dan juga SUV.
Atau mungkin sekali, ia salah satu kejutan yang bakal dibawakan oleh Honda dalam masa beberapa tahun akan datang?