Berdasarkan gambar yang dibocorkan oleh Autospy, Kia Picanto 2024 kini membawakan rekaan jeriji hidung harimau yang lebih menonjol, diikuti rekaan lampu utama serba baharu yang diinspirasikan daripada model Kia EV9.
Sementara unit lampu belakang juga turut membawakan tema yang hampir sama.
Varian yang dipaparkan ini merupakan Picanto GT-Line, di mana ia didatangkan dengan rekaan bampar yang lebih agresif, rim sporti, serta bampar belakang yang menempatkan diffuser terpisah.
Susun atur ruang kabin adalah hampir sama, cuma boleh dibezakan dengan kehadiran skrin kluster digital penuh yang memaparkan fungsi ADAS sistem pengekalan tengah lorong.
Buat masa ini, Kia tidak mendedahkan perincian trenkuasa yang bakal digunakan di bawah hud hatchback segmen A ini.
Namun, besar kemungkinan ia akan menampilkan teknologi hibrid ringan yang lebih sesuai untuk kereta bersaiz kecil.
Kia Picanto sedia ada boleh didapati dengan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter berkuasa 66 hp atau 99 hp dalam versi turbo.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Sumber: Autocar