Gambar Mitsubishi Airtrek EV 2022 tertiris - pelancaran di China tahun ini

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang mengikut rapat perkembangan Mitsubishi, nama Airtrek itu merujuk kepada model SUV/Crossover yang pernah dihasilkan sebelum namanya bertukar kepada Outlander.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Yang pasti, suatu ketika dahulu Airtrek merupakan antara pilihan yang popular di kalangan mat-mat kereta untuk menyumbat enjin 4G63 Evo.

Di China, nama Airtrek bakal dilahirkan semula sebagai sebuah SUV elektrik sepenuh masa, dan beberapa media di sana telah mendedahkan imej teaser crossover EV tersebut.

 


Biarpun masih lagi sarat dengan pelekat, Airtek dilihat bakal membawakan bahasa rekaan Dynamic Shield di bahagian hadapan diikuti dengan rekaan lampu bertingkat manakala bahagian belakang pula menampilkan unit lampu berbentuk T.

Difahamkan, Mitsubishi Airtrek EV ini bakal menggunakan asas daripada model Aion V yang dihasikan oleh Guangzhou Automobile Group (GAC).

Di pasaran China, Aion V memiliki dimensi sepanjang 4,586 mm, lebar 1,920 mm dan tinggi 1,728 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,830 mm.

 


Ini menjadikan Airtrek EV jauh lebih besar jika dibandingkan dengan crossover original Mitsubishi Eclipse Cross yang memiliki dimensi sepanjang 4,545 mm, 1,805 mm lebar, 1,685 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,670 mm.

Tiada sebarang butiran lanjut berhubung trenkuasa yang bakal digunakan oleh Airtrek EV, namun di dalam model Aion V, ia didatangkan dengan motor elektrik pacuan roda hadapan yang mampu menjana 184 PS dan 350 Nm, serta jarak operasi antara 500-680 km bergantung kepada varian.

 

 

Aion V (GAC)