Gambar intip: Volkswagen uji wagon pantas Golf R Variant!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak cukup dengan penawaran hot hatch sedia ada, Volkswagen kini sedang menguji sebuah varian station wagon yang lebih berkuasa untuk keluarga Golf, dikenali sebagai Golf R Variant.
Modenas

Model ujian tersebut dikesan sedang diuji atas jalan bersalji tanpa sebarang pelekat samaran yang menampilkan beberapa elemen sporti seperti bukaan kemasukan udara yang lebih besar di bahagian hadapan, roda yang lebih besar, serta kehadiran komponen strake pada fender hadapan.

 


Yang paling menonjol sistem ekzos dengan empat tip terjojol di bahagian belakang serta kehadiran sistem brek yang lebih berkuasa dengan pemasangan angkup brek berwarna biru di bahagian hadapan.

Menurut laman web Motor1, kehadiran lampu bantuan yang terpasang pada bumbung itu bukanlah sebahagian daripada penawaran, akan tetapi ia digunakan untuk fasa ujian memandangkan Golf R Variant ini diuji ketika musim sejuk yang panjang dan gelap di utara Eropah.

 


Spesifikasi Golf R Variant dijangkakan sama dengan versi hatchback Golf R, iaitu enjin 2.0 TSI empat silinder sebaris yang menghasilkan 315 kuasa kuda dan 420 Nm yang membenarkan Golf R mencapai pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 4.7 saat sahaja.

Golf R Variant ini juga dijangkakan membawakan transmisi DCT dan sistem pacuan semua roda 4Motion, serta pelbagai penambahbaikan yang kita dapati pada Golf Mk8 ini.

 


Sumber: Motor1

Add new comment