Baca: Mine Mobility EV
Pada ketika itu, syarikat tenaga Thailand, Energy Absolute dikatakan mahu merebut pasaran EV yang masih lagi muda dengan sebuah hatchback, dan mereka telah pun berjaya menerima kira-kira 4,500 unit tempahan.
Menurut spesifikasi, Mine SPA1 ini mempunyai motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan, dengan output 127 hp, kelajuan maksimum 140 km/j dan pek bateri 30 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 200 km (data NEDC).

Namun baru-baru ini, model EV ini dilihat muncul semula berdasarkan gambar intipan ini diperoleh menerusi akaun Instagram rakan media dari negara jiran, Autonetmagz.
Beberapa keping gambar itu jelas menunjukkan sebuah model SPA1 sedang diuji di jalanan menggunakan nombor pendaftaran perdagangan.
Apa sudah jadi dengan EV ini sebenarnya?

Menurut laporan Bloomberg bertarikh 7 Julai 2021, pada mulanya pihak Energy Absolute merancang untuk menjual versi kereta penumpang menerusi syarikat subsidiari Mine Mobility.
Difahamkan pada ketika itu, 4,500 tempahan telah diterima, termasuk 3,500 unit daripada kesatuan pengusaha teksi, namun disebabkan penularan wabak COVID-19, kesemua tempahan tersebut terpaksa dibatalkan.
Ia sekaligus menjawab persoalan kenapa masih lagi tiada unit EV tersebut menjalar di atas jalan raya, memandangkan pihak Mine Mobility sehingga kini gagal untuk mengedarkan walau satu unit EV kepada pelanggan.

Dalam satu temubual, naib CEO Energy Absolute Amorn Sapthaweekul menjelaskan mereka akan memfokuskan kepada pasaran bas dan trak terlebih dahulu sebelum beralih semula kepada pasaran kenderaan penumpang.
Menjelang akhir tahun ini, syarikat itu mensasarkan sehingga 600 unit bas elektrik yang akan beroperasi di Thailand, dengan kapasiti penumpang sehingga 29 orang dan kelajuan maksimum 80 km/j.
Menurut Amorn, "bas dan trak akan menjadi pasaran utama, kami tidak akan mengabaikan segmen kenderaan penumpang, namun kami harus meneliti semula pasaran tersebut.
"Sekiranya kami terjun ke dalam pasaran tersebut, kami tidak akan dapat bertahan. Jadi kami harus bina semula reputasi jenama sebelum memulakan kembali perniagaan dalam pasaran kenderaan penumpang.

Setelah hampir dua tahun, kemunculan semula unit EV ini di jalanan mungkin memberikan gambaran syarikat tenaga Thailand itu sedang bersedia untuk menawarkan kembali Mine SPA1 ini kepada umum.
Sumber: Autonetmagz, Bloomberg