Gambar intip: Generasi baharu Subaru XV dikesan buat kali pertama

oleh Mohamad Hanif|
Sedar ataupun tidak, Subaru XV (atau nama lain Crosstrek untuk pasaran tertentu) generasi kedua telah pun berada di pasaran sejak tahun 2017 lagi dan ia kini sudah pun menghampiri penghujung kitaran hayat.

Tiada sebarang maklumat daripada Subaru sendiri berhubung kehadiran model generasi baharu, namun sebuah model yang disyaki generasi ketiga Subaru XV yang penuh dengan pelekat samaran telah ditemukan di Amerika Syarikat.
 

XV


Berdasarkan pemerhatian kasar, Subaru XV ini masih lagi mengekalkan reka bentuk dan jarak kelegaan tanah yang tinggi, namun dengan beberapa perubahan seperti contoh rekaan tingkap segi tiga belakang, serta unit lampu belakang berbentuk C (seperti Forester).

Sementara unit lampu depan pula tampak lebih tajam dan memanjang ke sisi, dan dilihat 'bersambung' dengan rekaan gril yang agak besar.
 

XV


Rekaan bampar hadapan yang lebih agresif itu memungkinkan petunjuk kehadiran model berorientasikan off-road Wilderness seperti yang terdapat pada model Outback dan Forester sedia ada.

Rakaman video itu juga turut sempat menyelitkan kelibat rekaan papan pemuka, dan berkemungkinan besar ia akan mengikuti susun atur papan pemuka yang terdapat pada model WRX 2022 dengan skrin tengah menegak.
 

XV


Setakat ini, tiada sebarang petunjuk bilakah Subaru akan mendedahkan model generasi baharu crossover XV/Crosstek ini, namun besar kemungkinan ia akan dilancarkan pada tahun hadapan sebagai model tahun 2023.

Video penuh model ujian generasi baharu Subaru XV boleh ditonton pada pautan Youtube di bawah:

 

Sumber: KindelAuto

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Buat para pembeli Subaru Forester, TC Subaru menawarkan rebat lebih daripada RM36,999 yang…
Berita Domestik
Sistem telematik ini membawakan beberapa fungsi yang mementingkan keselamatan pengguna, seperti:…
Berita Domestik
Subaru XV 2.0i-P menampilkan ciri eksklusif iaitu tempat duduk balutan Leather Suede Deluxe…