Gagal saingi penguasaan Tesla, CEO BMW lepas jawatan

oleh Mohamad Hanif|

CEO BMW, Harald Kruger dilaporkan melepaskan jawatannya kurang daripada lima tahun menduduki kerusi panas itu. 

Mengikut kata pemerhati industri, kegagalan beliau untuk bertindak terhadap penguasaan kenderaan elektrik (Tesla) di dalam segmen premium adalah antara penyebab utama yang memaksa Kruger melepaskan jawatannya lebih awal. 

Hal ini turut disumbangkan dengan pengenalan model terbaharu Tesla, Model 3 sekaligus mengakibatkan kadar penjualan kenderaan BMW merudum teruk. 

Berdasarkan data penjualan kenderaan, BMW Amerika Syarikat mencatatkan penurunan sebanyak 14.5%  kepada 84,467 unit kenderaan setahun, manakala Tesla pula berjaya menjual kira-kira 184 ribu unit sedan Model 3 dalam tempoh yang sama. 
 


Hal ini sedikit aneh, kerana BMW sebenarnya telah berjaya menjadi antara yang terawal memperkenalkan kenderaan elektrik sepenuh masa (Battery Electric Vehicle, BEV) menerusi model i3 pada tahun 2013.

Namun, perkembangan BMW dalam segmen EV dilihat agak ketinggalan berbanding jenama-jenama premium lain seperti Jaguar (I-Pace), Audi (e-tron), Porsche (Taycan), dan Mercedes-Benz (EQC). 

Model elektrik baharu dari BMW hanya akan tiba pada tahun hadapan menerusi model iX3, manakala i4 dan iNEXT pula dijadualkan pada tahun 2021. 

Isu-isu yang dibangkitkan di atas adalah antara yang perlu diberikan perhatian oleh pengganti Harald Kruger bagi memastikan BMW akan terus kekal berdaya saing, terutama di dalam segmen kenderaan elektrik yang kini sedang meningkat naik. 

Sumber: Clean Technica

Add new comment

Careta Ad