Ditawarkan dalam dua varian utama, GAC GS3 2022 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter Dual-CVVT beserta teknologi kawalan pembakaran yang dipatenkan oleh GAC untuk kadar kecekapan yang dipertingkatkan.
Enjin empat silinder sebaris ini mampu menjana 114 PS dan 150 Nm itu dipadankan dengan transmisi automatik Aisin enam kelajuan, dan memberikan penggunaan bahan api serendah 6.9 liter/100 km (data NEDC).
Rekaan luaran GAC GS3 ini menampilkan bahasa rekaan GAC yang terkini digelar sebagai Flying Dynamic Wing 3.0, dengan rekaan gril yang besar, bampar yang agresif diikuti dengan padanan lampu utama projektor.
Tiang D SUV ini direka bagi menampakkan elemen bumbung terapung, sementara bahagian belakang pula didatangkan dengan lampu LED, diikuti lampu brek ketiga pada bahagian spoiler.
Ruang kabin pula menempatkan roda stereng tiga jejari balutan leatherette, skrin infotainmen tengah bersaiz lapan inci, butang kawalan iklim di bahagian bawah. Ia juga hadir dengan ciri Climate Control System yang dilengkapi penapisan PM2.5.
Terdapat tidak kurang daripada 25 ruang storan yang boleh didapati di sekitar kabin, dan tidak ketinggalan ruang kargo sebesar 356 liter yang boleh dibesarkan dengan melipat kerusi baris kedua pada nisbah 60:40.
Secara standard, GAC GS3 didatangkan dengan enam beg udara, sistem pemantauan titik buta, kawalan kestabilan elektronik, lampu berhenti kecemasan, kamera undur, amaran tali pinggang keledar, serta cagak ISOFIX.
Versi Standard dijual pada harga bermula dari RM88,800 diikuti dengan versi Premium pada harga RM96,800.
GAC GS3 2022 boleh dilihat dengan lebih dekat di pusat pameran pertama GAC yang terletak di alamat Lot 72, Jalan Sultan Azlan Shah, 51200 Kuala Lumpur.