Menurut GAC, rekaan Hyper GT ini diinspirasikan daripada titisan air yang dibentuk oleh angin, dan ini menyumbang kepada kadar pekali seretan (Cd) serendah 0.19 sahaja!
Ia sekaligus menjadikan Aion Hyper GT sebuah EV produksi paling aerodinamik buat masa ini, mengalahkan Mercedes-Benz EQS (0.20 Cd), Tesla Model S (0.208 Cd) dan Lucid Air (0.21 Cd).
Dari segi luaran, Aion Hyper GT membawakan reka bentuk low-slung silhouette yang disumbangkan oleh jarak antar roda yang panjang, jarak gantungan yang pendek, diikuti dengan rim bersaiz 19 inci.
Muka depan Aion Hyper GT ini tidak menampilkan sebarang bukaan jeriji, sementara komponen Wind Blade Grille di bahagian bawah bampar hanya akan dibuka pada julat kelajuan tertentu untuk mengurangkan kesan seretan.
Selain itu, ia turut mempunyai sistem aerodinamik aktif pada bahagian belakang, di mana sayap aktif itu akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan melebihi 80 km/j.
Satu lagi ciri menarik yang ada pada Hyper GT ini adalah bukaan pintu hadapan Sky Doors seakan supercar, terima kasih kepada teknologi 'dihedral synchro-helix actuation'.
Menggunakan senibina AEP3.0, Aion Hyper GT ini boleh didapati dengan konfigurasi motor elektrik tunggal atau dua motor elektrik.
Menurut GAC, versi pacuan roda belakang mampu menjana kuasa setinggi 335 hp dan 434 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam julat empat saat.
Kapasiti pek bateri tidak didedahkan namun ia dijangka menyokong pengecasan ultra-pantas sehingga 480 kW serta teknologi penukaran bateri.
Butiran lanjut seperti prestasi, jarak gerak, serta penawaran pada ruang kabin hanya akan diketahui menjelang pelancaran rasmi pada masa akan datang.
Terdapat ura-ura model Aion Hyper GT versi produksi akan dijual pada harga sekitar 300,000 yuan (RM191,804).