G310 R - masih ada ciri BMW

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Peluang membawa model paling kecil dalam keluarga BMW Motorrad bukan mudah.

Permintaan pasaran yang hangat menyebabkan semua unit yang dibawa masuk habis terjual. Unit demo untuk media pula belum kesampaian tetapi atas usaha BMW Malaysia, Careta diberi peluang untuk mencuba G310 R ini ke Pulau Pinang bagi menghadiri acara Night Fuel anjuran BMW Motorrad.

Kali pertama melihat siri G ini ialah di BMW Motorrad Puchong - dewan pameran penuh dengan biker-biker BMW, termasuk Datuk Kapten Nik Huzlan, selebiriti motosikal negara.

Saiznya memang sedikit kecik berbanding dengan model-model 250 cc atau 300 cc yang lain. Memang dalam genre ini, ia tidak boleh terlalu besar dan tinggi pelana dari bumi cuma 758 mm. 

Ini bermakna ia rendah dan sangat sesuai untuk mereka yang baharu menunggang. 

G310R 1

 

Untuk yang sudah lama menunggang pula, pelana yang rendah memberikan keyakinan. Walaupun rendah, penulis setinggi enam kaki tidak rasa sempit atau kaki terlipat banyak. 

Kualiti butang dan suis rasa solid serta bermutu dan tidak terasa seperti memegang butang yang dibuat dari plastik murah.

G310R 8

 

Panel meter memang digital sepenuhnya - hasil kawalan kos oleh BMW bagi memastikan siri G kecil ini mampu milik.

Kualiti pemasangan dan juga komponen boleh diterima, tetapi janganlah kita berharap kualiti setanding dengan model-model BMW Motorrad yang lebih mahal.

Terus-terang, penulis tidak menaruh harapan yang tinggi akan prestasi G310 R ini. Mungkin kerana saiz badan penulis yang sedikit besar (6 kaki, 100 kg) yang membuatkan dahi penulis terchop perkataan K1600 GT atau R1200 GSA. 

G310R 2

 

Namun begitu, melihat rakan Sep Irran dari Bikes Republic menunggang G310 R untuk dua jam pertama, nyata motosikal itu mampu mengikuti konvoi motosikal BMW Motorrad yang rata-rata membawa pada kelajuan 140 ke 150 kmsj.

Sep yang mempunyai badan jauh lebih kecil dan lebih segak kelihatan cantik di atas G310 R. Dari belakang, penulis khayal melihat tayar belakang G310 R yang nampak seperti sebuah motosikal 400 cc.

G310R 16

Menurut Sep, kelajuan maksimum yang dicapai beliau ialah lebih sedikit dari 160 kmsj. Careta dan rakan-rakan media lain (dari Roda-Roda, Paul Tan Bahasa Inggeris dan Moto Malaya) memang teruja melihat Sep menari-nari di atas G310 R itu.

Dan penulis tahu, mereka semua mahu lihat bagaimana jika rider sebesar penulis pula menunggang G310 R ini.

G310R 3
Penulis menunggang G310R semasa hujan untuk sampai ke Georgetown.

 

Maka dengan itu, penulis mengambil alih BMW G310 R itu dari R&R Tanjung Malim dan langsung ke Ipoh untuk makan tengahari, dan seterusnya ke Juru, Pulau Pinang.

Jujur, ia bukanlah motosikal idaman penulis dan kerana saiz penulis, ia tak akan menjadi pilihan penulis untuk menunggang sejauh itu.

Sebenarnya, penulis sendiri yang rasa seronok banget kerana walaupun G310 R ini diperah sehabis-habisnya, enjin selinder tunggal dengan sesaran 300cc ini tidak menghasilkan gegaran atau bunyi yang kuat.

Enjin-enjin silinder tunggal selalunya mempunyai tork yang tinggi, dan ini dibuktikan oleh G310 R. Tetapi untuk enjin kecil berselindier tunggal, ia lebih selesa ditunggang pada kelajuan malar 110 kmsj (untuk berat penulis). Lebih dari itu, enjin seperti meronta menjerit memaki hamun hendak meletup.

G310R 7

Ini langsung tidak terjadi dengan enjin G310 R. Oleh kerana penulis tahu halaju maksimumnya rendah, penulis menunggang dalam keadaan WOT (Wide Open Throttle) hampir sepenuh masa.

 

Bila kita membawa motosikal atau kereta yang kurang berkuasa, apa yang kita lakukan ialah kita bermain lajak dan kurang menyentuh pedal brek. Ini yang dilakukan oleh penulis dengan G310 R dan kerana itulah penulis dapat merasakan sendiri bahawa motosikal ini masih BMW walaupun mempunyai tanda harga di bawah RM30,000.

Ia mempunyai kendalian yang menyeronokkan. Tidak seperti motosikal Jepun di mana ia rasa sedikit ringan, G310 R memberi maklumbalas yang baik dari sistem gantungan hadapan dan belakang (tapi di atas lebuhraya sahaja ya kerana belum berpeluang melenjan di jalanraya persekutuan).

Kerana itu, penulis langsung tidak membrek ketika menuruni laluan terowong Menora menghala ke utara. Cukup dengan kuasa membrek enjin dalam gear empat dan lima.

G310R 8

 

Gear enam memang khusus untuk cruising - bersantai di lebuhraya lurus dan menjimatkan bahan api. Untuk bermain-main secara agresif, memang perlu menggunakan gear empat dan lima dan kadang-kadang tiga.

Tukaran gear yang sangat lancar dan jelas itu lagi membantu dalam oeprasi ligan ini. 

Walaupun G310 R ini tidak dilengkapi dengan skrin di hadapan, penulis langsung tidak merasa penat melawan angin. Ajaib, atau mungkin kerana kelajuan tidak begitu tinggi. 

Tetapi, penulis rasakan tolakan angin sangat kuat apabola penulis menunggang R90 Urban GS yang mempunyai fly screen mini pada kelajuan 140 kmsj. Hmmm ... hairan juga.

G310R 9

 

Penulis memang sudah lama tidak merasa seseronok ini - motosikal berkuasa tinggi memberikan keseronokan dalam kelajuan yang tinggi. 

Untuk G310 R, keseronokannya ialah bila kita tahu kita tidak peru begitu sensitif dengan pendikit kerana kuasa maksimumnya jauh berada di bawah kuasa kuda skil penulis.

Bak kata Mat Saleh, "you know the power is always within your limits."

Namun begitu, G310 R lebih direka untuk tunggangan urban, iaitu di sekitar bandar dan urban. Di sini, penulis merasa seperti di syurga kerana sudah kerap menunggang R1200 GS dengan tong aiskrim di dalam bandar atau dengan K1600 GT yang sebesar tongkang mewah.

G310R 10

 

Dengan motosikal sekurus dan sekecil G310 R, menunggang di bandar sungguh seperti nikmat dunia. Tidak ada masalah untuk menyelit dengan sopan dan tork yang lebih dari mencukupi menjamin G310 R ini mampu ditarik dari kelajuan rendah untuk memotong kenderaan-kenderaan lain.

Pada hemat penulis, pasangkan sebuah kotak Givi di belakang, G310 R mampu ditunggang setiap hari untuk urusan di kotaraya sibuk. 

Kos penyelenggaraan memang menjadi satu tanda tanya kerana ramai yang teringat kisah Mini. Walaupun ia sebuah Mini, ia bertukar menjadi sebuah BMW bila sampai ke pusat servis - mahal!

Menurut BMW Motorrad Malaysia, sela masa untuk servis bagi G310 R ini ialah setiap 10,000 km dan kosnya dalam RM300 ke RM400.

G310R 11

 

Pada hemat penulis, kos itu boleh diterima kerana 10,000 km ialah satu jaraj yang jauh. Namun begitu, kos rantai dan gegancu perlu diketahui dan Careta akan berkongsi maklumat itu bila informasi sudah diterima.

Ujian yang dilakukan memang tidak lengkap kerana hanya sempat menunggangnya untuk sehari. Itu pun di atas lebuhraya Plus yang hanya menyeronokan bagi bikers yang suka ke Thailand setiap bulan.

Careta akan mencuba untuk membawa keluar G310 R ini bagi ujian yang lebih lengkap dan pastinya, saudara Hafiz Takumi The Stick kami akan memberikan laporan yang lebih lengkap.

Adakah anda mahu membelinya? 

Sekiranya anda boleh menerima hakikat bahawa ia tidak akan mencecah kelajuan 180 kmsj (kecuali anda terjun bersamanya dari kapal terbang) dan ia lebih sesuai untuk tunggangan bandar, Careta sarankan untuk menempahnya sekarang kerana ramai yang sedang menunggu.

 

*Gambar oleh BMW Motorrad. 

G310R 14

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Pengarah tadbir urus dan perhubungan awam syarikat, Jason Zhang memberitahu Pos, model di bawah…
Model Terbaharu
BMW iX2 xDrive30 hadir dengan pelbagai elemen rekaan yang moden lagi sporty, memberikannya iras…
Berita Domestik
Dengan rangkaian kenderaan baharu, syarikat itu menyasarkan untuk meraikan minat peminat untuk…