Selain dikenali dengan imej mewah, Mercedes-Benz G-Class pada asalnya dibangunkan sebagai kenderaan ketenteraan dengan kod W461 dan ia telah pun diproduksikan sejak dari tahun 1992 lagi.
Untuk pasaran Eropah, Mercedes-Benz mengumumkan ketibaan model G-wagen spesifikasi tentera yang telah dikemaskini, dan membawakan kod designasi W464.
Namun, usah terlalu bergegas untuk mengira baki akaun, ini kerana G-Wagen W464 ini hanya ditawarkan secara eksklusif untuk kegunaan tentera dan agensi kerajaan untuk digunakan dalam operasi khas dan juga misi menyelamat.
Butiran lanjut tidak didedahkan kepada umum, namun model G-Class W464 ini membawakan spesifiksi G 350 d dengan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris yang mampu menghasilkan 245 kuasa kuda dan 600 Nm - peningkatan 35 peratus dari segi kuasa dan 50 peratus terhadap daya kilas.
Keupayaan pemanduan off-road turut dipertingkatkan, sementara kadar penjimatan bahan api juga telah ditambahbaik.
Sama seperti model G-Wagen untuk golongan T1, G-wagen W464 ini turut dikemaskini dengan kelengkapan moden seperti lampu utama LED, lampu DRL LED, serta sistem elektrik 24 volt dengan kapasiti penggunaan yang dipertingkatkan.