
Mahu yang mana? Tidak pasti? Pilih kedua-duanya! Atau tiga kerana BEE dibuat dalam versi roadster dan coupé.
Frontline LE60
Model ini paling berkuasa dan yang pertama menggunakan enjin V8 dari Frontline.
Angka 60 sempena ulang tahun MGB dan dibuat 30 unit sahaja untuk pelanggan di serata dunia yang juga merujuk kepada usia Frontline.

Frontline melebarkan trek roda dan memasang enjin 4.8 liter V8 dari Rover yang menghasilkan 375 bhp atau hampir tiga kali ganda MGB asal.
Daya kilas setinggi 423Nm dan pecutan dari 0 hingga 97 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.6 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 257 km/j.
Bagi menampung kuasa baharu, Frontline mengukuhkan casis asal manakala badan yang lebih lebar dibuat oleh British Motor Heritage.
Enjin V8 dipadan kotak gear lima kelajuan Tremec dan badan LE60 mempunyai pembahagian berat hampir 50/50 dan keseluruhannya seberat 1,122 kilogram (kg).

Brek asal ditukar kepada angkup aloi enam omboh dan cakera 310 milimeter (mm). Brek belakang mengunakan angkup dua omboh dengan cakera 265 mm.
Rim aloi 16 inci ala Dunlop dipadan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 saiz 215 di depan dan 225 di belakang.
Membantu pengendalian ialah pembeza gelincir terhad (LSD) dan suspensi baharu yang dibuat bersama syarikat pakar Nitron.
Frontline BEE (Roadster) dan BEE GT (Coupé)

BEE merujuk kepada MGB EV Edition dan jawapan kepada dunia elektrifikasi dan pemandu yang mahukan sebuah kereta klasik menyeronokkan.
Sama seperti model V8, kedua-dua BEE mempunyai pembahagian berat hampir 50/50 dan menariknya lebih ringan iaitu 1,186 kg (GT Coupé).
Satu lagi yang menarik ialah BEE menggunakan kotak gear manual dan putaran (rev) seperti enjin biasa (ICE).

Nadi BEE terdiri daripada motor elektrik Hyper9 100v yang boleh diputar sehingga 9,000 rpm dan bateri 40 kilowatt-jam (kWj).
BEE mempunyai tork 220Nm dan boleh dipecut dari 0 hingga 97 km/j dalam masa 8.8 saat. Kelajuan maksimum mencecah 193 km/j dan jarak pemanduan 225 km.
Pengecasan sehingga 100 peratus mengambil masa sekitar lima jam menggunakan pengecas 7 kWj melalui soket Type 2.

BEE menggunakan rim ala Dunlop saiz 15 inci dengan tayar Bridgestone Turanza T005. Set brek terdiri daripada cakera 273 mm dengan empat omboh.
Bahagian belakang menggunakan angkup dua omboh dengan cakera 265 mm.
Tidak hanya model ini, Frontline turut menawarkan khidmat penukaran ICE kepada elektrik kepada pelanggan sedia ada.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
