Freelander baharu hampiri fasa produksi, lulus ujian ekstrem

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Model produksi bagi SUV Freelander kini semakin hampir ke pasaran selepas berjaya melepasi ujian cuaca sejuk ekstrem, satu pencapaian penting dalam fasa pembangunan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kedatangan semula Freelander sebagai sebuah jenama akan dibangunkan menerusi kerjasama antara Chery dan Jaguar Land Rover di bawah entiti usaha sama baharu mereka.

Menurut CEO global Freelander, Wen Fei, model itu telah menjalani ujian musim sejuk dan berjaya lulus semua validasi suhu ekstrem, menandakan ia kini memasuki fasa akhir sebelum pelancaran rasmi yang dijadualkan pada separuh kedua 2026.

 

2

 

Dari segi rekaan, imej spyshot dan rakaman rasmi menunjukkan SUV itu masih mengekalkan rupa hampir kepada Freelander Concept 97, dengan siluet kotak, bumbung rata dan proporsi tegak yang jelas mengambil inspirasi daripada model klasik Land Rover terdahulu. 

Model produksi dijangka dilancarkan terlebih dahulu di pasaran China sebelum diperkenalkan ke pasaran global.

Menariknya, Freelander kini diposisikan sebagai jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) global, dengan struktur pembangunan yang berbeza daripada JV tradisional. 

 

3

 

Chery memainkan peranan utama dalam pembangunan teknologi, kejuruteraan dan rantaian bekalan, manakala Jaguar Land Rover menyumbang dari segi reka bentuk dan kedudukan jenama.

SUV itu juga bakal tampil dengan teknologi terkini hasil kerjasama beberapa pemain utama industri China, antaranya termasuk sistem pemanduan pintar Huawei ADS 4.1, sensor LiDAR 896-line, serta cip automotif Qualcomm Snapdragon 8397 yang menawarkan peningkatan prestasi CPU dan AI secara signifikan berbanding generasi sebelumnya.

Dari sudut bateri pula, pembangunan dilakukan bersama CATL, dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 350 kW dan kadar 6C, memberikan kelebihan dari segi masa pengecasan yang lebih singkat, khususnya dalam penggunaan berprestasi tinggi.

 

4

 

Apa yang menarik, model itu menunjukkan kadar pembangunan yang sangat pantas, ia pertama kali dikesan menjalani ujian pada pertengahan 2025, dan kini sudah mencapai tahap validasi produksi dalam tempoh kurang setahun.

Freelander juga merancang untuk melancarkan enam model baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sasaran satu model setiap enam bulan. 

Ini menandakan strategi agresif untuk membina semula nama Freelander sebagai jenama moden berasaskan elektrifikasi, yang bakal mencabar pemain tradisional dalam era kenderaan elektrik dan pintar.

 

Sumber: Car News China

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Kehadiran Freelander 8 menandakan kelahiran semula nama Freelander sebagai jenama sendiri yang…
Berita Global
Model berkenaan bakal diperkenalkan di bawah nama Freelander, satu nama yang cukup ikonik dalam…
Berita Global
Menurut laporan, model pertama jenama Freelander ialah SUV besar sekitar 5.1 meter dan akan…