Framing John DeLorean - Filem dokumentari pengasas DMC di pawagam Jun 2019

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Filem-filem Hollywood tidak akan lari daripada beberapa tema yang akan kami sebutkan - kuasa, duit, politik, dadah, skandal serta kereta-kereta pantas, malah ia seakan gabungan tema wajib dengan beberapa jalan cerita yang berbeza. 

Namun, filem yang bakal menyerang panggung wayang tahun ini sedikit berbeza apabila ia diberitakan bakal menyentuh isu-isu yang berkait rapat dengan pengasas DeLorean Motor Company (DMC), iaitu John DeLorean. 

Filem dokumentari automotif berdurasi dua jam ini bakal membawakan sedikit sebanyak cebisan kisah hidup di sebalik jenama DMC, serta jasa-jasa beliau dalam membangunkan model Pontiac GTO sebelum mengasaskan jenama sendiri. 
 


Mengikut sejarah, John DeLorean mengasaskan DMC pada tahun 1973 dan satu-satunya produk DMC DeLorean diperkenalkan kepada umum pada pertengahan 1970-an - di mana rekaan luarnya dihasilkan oleh Giorgetto Giugiaro dari Italdesign.

Enjin 2.85 liter V6 pula diperoleh daripada Renault pula biasa-biasa sahaja, 130 hp dan daya kilas 270 Nm manakala casis dan hasil kerja badan pula dibuat oleh Lotus (ya, Lotus!).

Namun, pada awal fasa penjualan, DeLorean tidak mampu untuk bersaing dengan model sports car yang lebih murah dan tinggi kuasa kudanya (seperti Chevrolet Corvette), menjadikan hampir separuh daripada 7,000 unit DeLorean tidak dapat dijual.
 


Masalah bertambah buruk apabila pada tahun 1982, John DeLorean ditangkap atas tuduhan mengedar dadah jenis kokain seberat 100 kg bernilai hampir $24 juta (RM97 juta matawang kini).

Kesan daripada skandal tersebut, imej DMC terus menjunam dan disahkan bankrap walaupun John DeLorean disahkan tidak bersalah dua tahun berikutnya.

Imej DeLorean hanya kembali popular apabila pada tahun 1985, sebuah filem fiksyen sains arahan Robert Zemeckis, Back To The Future menampilkan sebuah kereta mesin masa yang menggunakan asas daripada DMC DeLorean yang mempunyai imej luaran yang sangat futuristik untuk sebuah kereta 1980-an. 

 


Untuk ulasan yang lebih menarik dan dramatik daripada saksi-saksi termasuk kedua-dua anaknya Zachary dan Kathryn, anda perlu sabar menantikan kemunculan filem ini di pawagam, namun tidak dapat dipastikan adakah ia bakal memasuki pawagam Malaysia.