Format perlumbaan GR Vios Challenge akan dikekalkan, ditambah baik

oleh Mohamad Hanif|
Musim keenam Toyota GAZOO Racing Festival baharu sahaja melabuhkan tirainya, mengumpulkan lebih daripada 10,000 orang pengunjung dan 4 juta penonton dalam talian sepanjang dua hari berlangsung (30 September-1 Oktober).

Bukan itu sahaja, hujung minggu tersebut turut dimeriahkan dengan kemunculan jentera lumba Toyota Vios generasi baharu yang bakal digunakan sepenuhnya dalam semua kelas perlumbaan pada tahun 2024.
 

bios


Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, jentera lumba GR Vios Challenge itu akan digunakan dalam tiga kelas perlumbaan utama (Super Sporting, Sporting dan Promotional) untuk tempoh tiga tahun, dari 2024 hingga 2027.

"Format perlumbaan 'one-make series' akan dikekalkan dan ditambah baik pada masa depan. Ini adalah selaras dengan objektif kami dalam memastikan perlumbaan yang adil dan bergantung kepada kemahiran.
 

vios


"Ia juga bagi memastikan sukan permotoran lebih mudah untuk diakses dari segi kos kepada kumpulan pasukan, pelumba dan peminat yang lebih besar.

"Ini juga menjadi asas kepada usaha kami untuk menarik dan membantu memupuk bakat muda.
 

gazoo


UMW Toyota turut mencatatkan sejarah pada hujung minggu lalu menerusi anugerah khas yang disampaikan oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) atas usaha mempromosikan sukan permotoran kepada orang ramai dan menyumbang kepada pembangunan bakat muda di dalam sukan tersebut.

Musim keenam Toyota GAZOO Racing Festival bukan sahaja membawakan aksi perlumbaan Vios yang mencuri tumpuan, ia turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk para pengunjung, termasuklah konsert artis terkemuka, Tempatan Fest yang menampilkan tidak kurang daripada 50 reruai menjual aksesori vintaj, pakaian jalanan, fesyen serta makanan dan minuman, serta jualan dan promosi barangan kereta.
 

gazoo


Berikut merupakan keputusan akhir perlumbaan GR Vios Challenge mengikut kelas:

Kelas Rookie
1. Ariff Azmi (89 mata)
2. Iman Danish (79 mata)
3. Nazmir Azlan (77 mata)

Kelas Promotional
1. Zizan Razak (101 mata)
2. Ezzrin Loy (98 mata)
3. Shukri Yahaya (65 mata)

Kelas Sporting
1. Bradley Benedict (78 mata)
2. Nabil Azlan (75 mata)
3. Kenneth Koh (71 mata)

Kelas Super Sporting
1. Mitchell Cheah (79 mata)
2. Putera Adam (77 mata)
3. Eddie Lew (64 mata)

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Para pelumba selebriti dalam kategori Promotional Class berpeluang untuk menjadi antara yang…