FORM hasilkan pod camper boleh dikembangkan, sesuai untuk Cybertruck (dan trak pikap lain)

oleh Mohamad Hanif|
Sebuah syarikat camper pemula dari California, Form Camper baru-baru ini memperlihatkan konsep trak pikap camper yang menampilkan pod (atau kotak) camper yang boleh dikembangkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia bukan sahaja sesuai untuk mana-mana trak pikap konvensional di dalam dunia, malah ia juga boleh digunakan pada trak pikap Tesla Cybertruck yang masih lagi belum wujud itu.

Tidak perlu untuk menghasilkan rekaan yang khusus untuk model tertentu, FORM Camper menggunakan pendekatan yang lebih universal, dengan mencipta sebuah kotak asas berbentuk segi empat memanjang yang boleh dimuatkan pada bed belakang trak pikap.
 

Camper


Daripada situ, pod dengan rekaan 'kotak-dalam-kotak' FORM ini boleh diperbesar dan diperluaskan sehingga 6.6 meter persegi untuk menjadi sebuah ruang yang sesuai dijadikan sebagai tempat tidur, memasak dan sebagainya.

Malah, dengan rekaan kaki teleskopik yang boleh dipanjangkan, binaan pod ini boleh berdiri dengan sendiri dan trak pikap anda boleh digunakan untuk tujuan lain tanpa perlu membawa pod itu tadi.
 

Camper


Menurut FORM, pod tersebut memerlukan masa kira-kira lima minit untuk dikembangkan sepenuhnya, dan ia menempatkan kelengkapan yang tipikal untuk kegunaan aktiviti camper seperti katil, ruang memasak, peti sejuk beku, serta ruang laci dan penyimpanan barang.

Di bahagian luar pula disediakan sepasang kanopi nilon untuk penambahan ruang berteduh yang lebih besar.
 

Camper


FORM merancang untuk menggunakan binaan gentian karbon dan aluminium dengan berat keseluruhan sekitar 454 kg, dengan saiz 3,000 mm x 1,350 mm x 1,020 mm yang boleh dimuatkan pada trak pikap yang memiliki bed sepanjang 1.7 meter hingga 2.4 meter.

Trak pikap dengan bed yang pendek akan memerlukan lengan sokongan bagi menstabilkan kedudukan pod ketika proses pengembangan dibuat.
 

Camper


FORM mensasarkan suku kedua tahun 2022 untuk melengkapkan prototaip pod camper ini, dan memulakan fasa produksi pada separuh kedua tahun hadapan dengan binaan terhad kepada 500 unit sahaja.

Harga jualan anggaran bermula dari US$49,500 (RM205,598) hingga US$56,500 (RM234,673).

Sumber: News Atlas