Acara tersebut dianjurkan oleh pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, iaitu Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) selama dua hari pada 22 dan 23 Februari 2025.
Menariknya, Ford Raptor Rev turut menjadi acara off-road pertama yang dianjurkan di Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang yang merupakan sebuah tempat off-road khas lengkap dengan pelbagai halangan dan laluan mencabar untuk menguji jentera dan kemahiran.
Acara yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan sehingga 80 pemilik Ranger Raptor menguji jentera dan kemahiran masing-masing dengan melalui halangan seperti lompatan, laluan air, cerun sisi, laluan off-road perlahan serta trek rali berkelajuan tinggi.
Selain itu juga, peserta turut berpeluang untuk merasai laluan Baja yang mencabar dan mengujakan khusus untuk peminat kelajuan.
Bukan keseronokan semata-mata, para peserta turut didedahkan lebih mendalam tentang sistem suspensi FOX yang digunakan pada Raptor, diterangkan pula oleh seorang pakar dari Ford, Chris Dean.
Tidak terhad untuk pemilik Raptor, acara Ford Raptor Rev turut mengalu-alukan kehadiran orang awam untuk merasai pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan, pandu uji dan juga sesi Hot Laps yang membolehkan pengunjung merasai kemampuan Baja pada Ranger Raptor.
Sebagai tambahan, rakan utama bagi acara tersebut iaitu BFGoodrich turut menyediakan sokongan teknikal dan mengadakan bengkel informatif yang berfokuskan tentang tayar.