Ford Ranger XL kabin tunggal ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.0 liter turbo tunggal dengan janaan kuasa 170 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 405 Nm @ 1,750-2,500 rpm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Pembangunan kotak gear itu mengambil masa selama empat tahun, di mana ia menampilkan set gear baharu untuk penukaran yang lebih lancar.

Dari segi dimensi, Ford Ranger XL Single Cab ini menawarkan ruang kargo yang paling besar, dengan ukuran bed 2,332 mm, lebar 1,420 mm dan tinggi 540 mm yang mampu memuatkan barangan yang lebih besar dan panjang.
Dengan jarak kelegaan tanah 230 mm, serta sudut pendekatan dan pelepasan yang lebih baik, ia membantu pengendalian terutama di atas jalan raya biasa mahupun di laluan off-road.
Terdapat enam cangkuk yang disediakan untuk memudahkan pengguna mengikat barangan dengan selamat, sementara pintu belakang pula boleh digunakan sebagai pelantar kerja lengkap dengan pembaris dan poket cengkam untuk mengukur, memegang dan memotong bahan binaan.

Ciri luaran Ranger XL Single Cab ini termasuklah rim aloi bersaiz 16 inci, lampu utama halogen, lampu kabus belakang, cangkup penyelamat di depan, lampu nyalaan siang serta lampu LED pada bahagian belakang.
Biarpun bersifat sebagai varian asas, Ranger XL Single Cab ini turut didatangkan dengan skrin sentuh 10.1 inci, lengkap dengan sistem Ford SYNC 4A, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Skrin kluster digital lapan inci memaparkan lebih banyak info yang berguna kepada pemandu.

Antara kelengkapan lain termasuklah dua slot USB, soket kuasa 12V, serta ciri keselamatan seperti dua beg udara, ABS, EBD, kawalan cengkaman, kawalan menurun curam, bantuan mula mendaki, penghindaran daripada terbalik serta kawalan olengan bahagian belakang.
Terdapat empat pilihan warna termasuklah Absolute Black, Aluminium Metallic, Arctic White dan Meteor Grey.
Setiap pembelian Ranger XL Single Cab didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 160,000 km yang mana tiba dahulu.

Pembeli juga boleh mendapatkan lanjutan tempoh jaminan sehingga tujuh tahun.