Kehadiran Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel dengan nadi baharu sekaligus menambahkan lagi barisan trak pikap sedia ada untuk pasaran tempatan.
Menjadi perbezaan utama, di bawah bonet WildTrak ini dikuasakan enjin 3.0 liter V6 turbo diesel yang menghasilkan 250 PS pada 3,250 rpm dan 600 Nm tork pada 1,750 rpm.
Sebagai perbandingan WildTrak dengan nadi 2.0 Bi-Turbo menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm tork pada 1,750 rpm.
Bahagian transmisi pula masih sama, transmisi automatik 10 kelajuan yang kini dilengkapi mod 4x4 auto sepenuh masa.
Ia turut dilengkapi dengan enam mod pemanduan, iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand yang boleh disesuaikan mengikut keadaan jalan.
Dari segi reka bentuk luar, rupa WildTrak V6 tak lari jauh daripada Wildtrak sedia ada, cuma ada beberapa sentuhan yang lebih premium.
Antaranya lampu LED Matrix dipasang sebagai standard, rim 20 inci dengan tayar 255/55, dan emblem V6 untuk membezakannya dengan versi 2.0.
Masuk ke bahagian dalam pula, papan pemuka masih dilengkapi panel instrumen TFT 8 inci, skrin infotainment menegak 12 inci dengan sistem SYNC 4A serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Dari segi keselamatan pula, WildTrak V6 ini lengkap dengan sistem bantuan keselamatan penuh seperti:
- Blind Spot Information System (BLIS)
- Lane Departure Warning dengan Lane-Keeping Assist
- Adaptive Cruise Control dengan Stop-and-Go dan Lane Centering
- Rear Cross-Traffic Alert
- Post-Collision Braking
WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel ditawarkan dengan empat pilihan warna, iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow dan Meteor Grey dengan harga bermula dari RM192,888 (atas jalan tanpa insurans) untuk Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak pada harga RM198,688.
Pelanggan terawal juga akan menerima Pakej Servis Lanjutan 2 Tahun secara percuma, serta beg penyejuk edisi terhad, sementara pelanggan yang membuat tempahan secara atas talian juga akan diberikan kerusi camping Ford eksklusif secara percuma.